KISAH RASUL-RASUL 4:1-22

KISAH RASUL-RASUL 4:1-22 BM

Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang. Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang. Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang. Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem. Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu. Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, “Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?” Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, “Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi! Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan. Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.’ Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.” Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.” Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami