KISAH RASUL-RASUL 13:26-39

KISAH RASUL-RASUL 13:26-39 BM

Saudara-saudara keturunan Abraham, dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah! Allah sudah mengirim berita penyelamatan itu kepada kita. Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi. Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur. Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian. Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel. Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita, sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua, ‘Engkaulah Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’ Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian; Dia tidak akan mengalami kematian lagi. Tentang hal ini Allah berfirman, ‘Aku akan memberkati kamu dengan berkat yang suci, seperti yang Aku janjikan kepada Daud.’ Begitu juga dalam ayat lain Dia berfirman, ‘Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.’ Pada masa hidupnya, Daud melakukan kehendak Allah, lalu Daud meninggal, dikuburkan dengan nenek moyangnya dan jenazahnya reput. Tetapi hal ini tidak berlaku terhadap Dia yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua. Setiap orang yang percaya kepada-Nya dibebaskan daripada segala dosa yang tidak dapat dihapus oleh Taurat Musa.