2 TIMOTIUS 2:7-19

2 TIMOTIUS 2:7-19 BM

Renungkanlah apa yang aku katakan ini, kerana Tuhan akan membolehkan engkau memahami semuanya. Ingatlah akan hal ini: Menurut Berita Baik yang aku isytiharkan, Yesus Kristus telah dibangkitkan daripada kematian dan Dia keturunan Daud. Oleh sebab aku mengisytiharkan Berita Baik itu, aku menderita, bahkan aku dirantai seperti seorang penjahat. Tetapi firman Allah tidak dapat dirantai. Itulah sebabnya aku bertabah hati menanggung semuanya demi kepentingan umat yang telah dipilih oleh Allah, supaya mereka juga mendapat penyelamatan yang diberikan melalui Kristus Yesus dan yang disertai kemuliaan yang kekal. Sungguh benar kenyataan ini: “Jika kita mati bersama-sama Dia, kita juga akan hidup bersama-sama Dia. Jika kita tetap bertabah, kita juga akan memerintah bersama-sama Dia. Jika kita menyangkal Dia, Dia juga akan menyangkal kita. Jika kita tidak setia, Dia tetap setia, kerana Dia tidak dapat bertentangan dengan diri-Nya sendiri.” Nasihatilah ahli jemaahmu dan ingatkan mereka di hadapan Allah, supaya jangan bertengkar tentang istilah. Perkara itu tidak ada gunanya, malahan merosakkan iman orang yang mendengarnya. Berusahalah sebaik-baiknya untuk mendapat pujian daripada Allah, seperti seorang pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya. Hendaklah engkau mengajar ajaran benar daripada Allah dengan betul. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang sia-sia dan menghina Allah. Percakapan seperti itu hanya membuat orang semakin jauh daripada Allah. Ajaran mereka itu seperti luka yang mengudis dan tidak dapat sembuh. Dua orang daripada mereka ialah Himeneus dan Filitus. Mereka telah menyimpang daripada ajaran yang benar, dan sekarang merosakkan iman sesetengah orang yang percaya kepada Kristus. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian sudah berlaku. Tetapi asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Allah tidak dapat digoncangkan. Di atasnya tertulis kata-kata ini: “Tuhan mengenal orang milik-Nya,” dan “Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.”