2 SAMUEL 8
8
Kemenangan Raja Daud dalam Peperangan
(1 Taw 18.1-17)
1Beberapa waktu kemudian, Raja Daud menyerang orang Filistin lagi. Baginda mengalahkan mereka dan merebut tanah mereka.
2Kemudian Raja Daud mengalahkan orang Moab. Baginda menyuruh orang tawanannya berbaring di atas tanah, lalu baginda membunuh dua orang daripada tiap-tiap tiga orang. Oleh itu orang Moab takluk kepada Raja Daud dan membayar ufti kepadanya.
3Selepas itu Raja Daud mengalahkan Hadadezer anak Rehob, raja di Zoba di negeri Siria. Pada masa itu Hadadezer sedang dalam perjalanan pulang untuk memulihkan kekuasaannya di wilayah hulu Sungai Efrat. 4Raja Daud menawan sebanyak 1,700 orang askar berkuda dan 20,000 orang askar yang berjalan kaki. Dia melumpuhkan semua kuda, kecuali sebilangan yang cukup untuk menarik seratus buah kereta kuda.
5Apabila orang Siria dari Damsyik mengirim tentera untuk menolong Raja Hadadezer, Raja Daud menyerang tentera itu dan membunuh 22,000 orang. 6Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di dalam wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberi Raja Daud kemenangan di mana sahaja baginda berperang. 7Raja Daud merampas perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Raja Hadadezer, lalu membawa semuanya ke Yerusalem. 8Raja Daud juga merampas banyak gangsa dari Betah dan Berotai, kota-kota yang dahulu dikuasai oleh Raja Hadadezer.
9Raja Tou dari negeri Hamat mendengar bahawa Raja Daud telah mengalahkan seluruh tentera Raja Hadadezer. 10Oleh itu Raja Tou mengutus puteranya Yoram untuk memberikan salam kepada Raja Daud dan mengucapkan tahniah bagi kemenangannya terhadap Raja Hadadezer, kerana Raja Tou telah sering berperang dengan Raja Hadadezer. Yoram datang kepada Raja Daud dengan membawa banyak hadiah daripada emas, perak, dan gangsa. 11Raja Daud mempersembahkan semua hadiah itu kepada TUHAN untuk digunakan dalam upacara ibadat. Demikian juga dilakukannya dengan perak dan emas yang dirampasnya dari negeri-negeri yang telah dikalahkannya, 12iaitu Edom, Moab, Amon, Filistin, dan negeri orang Amalek. Raja Daud juga mempersembahkan sebahagian daripada barang-barang yang dirampasnya daripada Raja Hadadezer.
13 Raja Daud menjadi lebih termasyhur selepas baginda kembali daripada membunuh 18,000 orang Edom di Lembah Asin. 14Raja Daud mendirikan perkhemahan tenteranya di seluruh tanah Edom, dan penduduk di situ takluk kepada baginda. TUHAN memberikan kemenangan kepada Raja Daud di mana sahaja baginda berperang.
15Raja Daud memerintah di seluruh Israel dan memastikan supaya rakyatnya selalu diperlakukan dengan adil dan baik. 16-18Inilah pegawai-pegawai tinggi yang dilantik oleh Raja Daud:
Panglima angkatan bersenjata: Yoab (ibunya Zeruya);
Setiausaha istana: Yosafat anak Ahilud;
Imam-imam: Zadok anak Ahitub, dan Ahimelekh anak Abyatar;
Setiausaha negara: Seraya
Ketua pengawal peribadi raja: Benaya anak Yoyada;
Imam-imam di istana: putera-putera Raja Daud.
Terpilih Sekarang Ini:
2 SAMUEL 8: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.