2 SAMUEL 7:8-16

2 SAMUEL 7:8-16 BM

Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia. Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan. Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja. Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya. Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja. Engkau akan sentiasa mempunyai keturunan dan Aku akan mengekalkan kerajaanmu. Kerajaanmu tidak akan berkesudahan.’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami