2 SAMUEL 7:8-16

2 SAMUEL 7:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia. Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan. Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja. Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya. Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja. Engkau akan sentiasa mempunyai keturunan dan Aku akan mengekalkan kerajaanmu. Kerajaanmu tidak akan berkesudahan.’ ”

2 SAMUEL 7:8-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka sekarang, beginilah yang harus kaukatakan kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Aku telah mengambil engkau dari padang ragut, daripada tugas menggiring kawanan domba, untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku, iaitu atas Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana-mana pun engkau pergi dan telah melenyapkan semua musuhmu daripada hadapanmu. Aku akan membuat namamu besar, seperti nama orang besar yang ada di bumi. Aku akan menentukan suatu tempat bagi umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana, sehingga mereka mendiami tempat sendiri tanpa diganggu lagi. Mereka tidak akan tertindas lagi oleh orang zalim seperti sebelumnya, iaitu sejak masa Aku melantik para hakim untuk memimpin umat-Ku Israel. Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu daripada semua musuhmu. Selain itu, TUHAN pun menyatakan kepadamu bahawa TUHAN akan mengukuhkan sebuah keluarga bagimu. Apabila sampai akhir hayatmu, dan engkau dibaringkan bersama nenek moyangmu, Aku akan membangkitkan keturunanmu kelak, anak kandungmu sendiri, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina sebuah bait bagi nama-Ku dan Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya untuk selama-lamanya. Aku akan menjadi Bapanya dan dia akan menjadi anak-Ku. Jika dia melakukan kesalahan, Aku akan mengajar dia dengan rotan yang digunakan orang dan dengan pukulan yang diberikan anak-anak manusia. Namun demikian, kasih abadi-Ku tidak akan dijauhkan daripadanya, seperti Kujauhkan daripada Saul, yang telah Kusingkirkan di hadapanmu. Keluargamu dan kerajaanmu akan kekal selama-lamanya di hadapan-Ku. Takhtamu akan kukuh selama-lamanya.” ’ ”