2 SAMUEL 6:14-22

2 SAMUEL 6:14-22 BM

Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya. Demikianlah Raja Daud dan segenap rakyat Israel membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem sambil bersorak-sorai dengan diiringi tiupan trompet. Ketika Tabut Perjanjian dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat untuk menghormati TUHAN. Mikhal berasa muak melihat Raja Daud. Kemudian mereka meletakkan Tabut Perjanjian di tempatnya di dalam khemah yang sudah didirikan oleh Raja Daud untuk Tabut Perjanjian. Raja Daud mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Setelah Raja Daud mempersembahkan korban, baginda memberkati rakyat Israel dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, dan membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Baginda memberikan seketul roti, sepotong daging panggang, dan kismis kepada setiap lelaki dan perempuan di Israel. Selepas itu mereka pulang ke rumah masing-masing. Selepas itu, apabila Raja Daud pulang untuk memberikan salam kepada keluarganya, Mikhal menemui baginda. Mikhal berkata, “Pada hari ini raja Israel telah sungguh-sungguh membuat dirinya terhormat! Raja telah bertelanjang seperti orang dungu yang tidak tahu malu di hadapan hamba-hamba perempuan milik para pegawai istana!” Raja Daud menjawab, “Aku menari untuk menghormati TUHAN. Dia telah menolak bapamu serta keluargamu, lalu memilih aku sebagai pemimpin umat-Nya Israel. Aku akan terus menari dan bersedia dihina lebih daripada tadi untuk menghormati TUHAN. Engkau memandang rendah kepadaku, tetapi hamba-hamba perempuan itu menghormati aku!”