2 SAMUEL 6:14-22

2 SAMUEL 6:14-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya. Demikianlah Raja Daud dan segenap rakyat Israel membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem sambil bersorak-sorai dengan diiringi tiupan trompet. Ketika Tabut Perjanjian dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat untuk menghormati TUHAN. Mikhal berasa muak melihat Raja Daud. Kemudian mereka meletakkan Tabut Perjanjian di tempatnya di dalam khemah yang sudah didirikan oleh Raja Daud untuk Tabut Perjanjian. Raja Daud mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Setelah Raja Daud mempersembahkan korban, baginda memberkati rakyat Israel dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, dan membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Baginda memberikan seketul roti, sepotong daging panggang, dan kismis kepada setiap lelaki dan perempuan di Israel. Selepas itu mereka pulang ke rumah masing-masing. Selepas itu, apabila Raja Daud pulang untuk memberikan salam kepada keluarganya, Mikhal menemui baginda. Mikhal berkata, “Pada hari ini raja Israel telah sungguh-sungguh membuat dirinya terhormat! Raja telah bertelanjang seperti orang dungu yang tidak tahu malu di hadapan hamba-hamba perempuan milik para pegawai istana!” Raja Daud menjawab, “Aku menari untuk menghormati TUHAN. Dia telah menolak bapamu serta keluargamu, lalu memilih aku sebagai pemimpin umat-Nya Israel. Aku akan terus menari dan bersedia dihina lebih daripada tadi untuk menghormati TUHAN. Engkau memandang rendah kepadaku, tetapi hamba-hamba perempuan itu menghormati aku!”

2 SAMUEL 6:14-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sebagai ungkapan syukur kepada TUHAN, Daud menari-nari dengan penuh semangat. Dia memakai jubah efod daripada kain linen. Demikianlah Daud dan seluruh keturunan kaum Israel mengangkut tabut TUHAN dengan sorak-sorai diiringi bunyi sangkakala. Ketika tabut TUHAN memasuki Kota Daud, Mikhal anak Saul melihat melalui jendela lalu terlihat betapa Raja Daud sedang melompat-lompat serta menari-nari di hadapan TUHAN. Lalu dalam hatinya dia memandang rendah terhadap Daud. Tabut TUHAN itu dibawa masuk, lalu diletakkan di tempatnya, di dalam khemah yang dibentangkan Daud untuk itu, kemudian Daud mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian di hadapan TUHAN. Setelah Daud selesai mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian, dia memohonkan berkat bagi bangsa itu dengan nama TUHAN alam semesta. Kemudian dia membahagi-bahagikan makanan kepada seluruh umat itu, iaitu kepada seluruh khalayak Israel itu, baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing sebuku roti, sepotong daging, dan sekeping kuih kismis. Lalu pulanglah seluruh umat itu ke rumah masing-masing. Ketika Daud pulang untuk memberkati keluarganya, keluarlah Mikhal anak Saul menemui Daud dan berkata, “Alangkah mulianya raja Israel hari ini! Dia bertelanjang diri di hadapan mata budak-budak perempuan para pegawainya pada hari ini, seperti seorang tidak bertamadun yang bertelanjang diri tanpa rasa malu.” Kata Daud kepada Mikhal, “Sebagai tanda syukur aku menari-nari bagi TUHAN yang telah memilih aku dan bukan memilih ayahmu atau sesiapa daripada seluruh keluarganya untuk menjadi pemimpin umat TUHAN, Israel. Dengan itu, aku akan terus menari-nari bagi TUHAN. Aku bahkan rela menghinakan diriku lebih lagi daripada itu, dan direndahkan di hadapan mataku sendiri. Tentang budak-budak perempuan yang kaukatakan itu, justeru daripada merekalah aku akan diberi hormat.”