2 SAMUEL 21

21
Keturunan Raja Saul Dihukum Mati
1Pada masa pemerintahan Raja Daud, kebuluran yang dahsyat pernah berlaku selama tiga tahun. Oleh itu Raja Daud bertanya kepada TUHAN, lalu TUHAN menjawab, “Raja Saul dan keluarganya sudah berdosa. Mereka telah membunuh orang Gibeon.” ( 2 Orang Gibeon bukan orang Israel; mereka sekelompok kecil bangsa Amori. Umat Israel telah berjanji untuk melindungi mereka, tetapi Raja Saul telah berusaha untuk membinasakan mereka kerana baginda menjaga kepentingan umat Israel dan Yehuda.) 3Oleh itu Raja Daud memanggil orang Gibeon dan bertanya kepada mereka, “Apakah yang dapat beta lakukan bagi kamu? Beta hendak menebus kesalahan yang telah dilakukan kepada kamu, supaya kamu akan memberkati umat TUHAN.”
4Mereka berkata, “Pertikaian antara kami dengan Raja Saul dan keluarganya tidak dapat diselesaikan dengan perak ataupun emas. Tetapi kami tidak mahu membunuh seorang pun umat Israel.”
Kemudian Raja Daud bertitah, “Jika begitu, apakah yang kamu ingin beta lakukan?”
5Mereka menjawab, “Raja Saul hendak membinasakan kami semua supaya kami lenyap dari seluruh Israel. 6Oleh itu, serahkanlah tujuh orang lelaki daripada keturunannya supaya kami menggantung mereka di hadapan TUHAN di Gibea, kota asal Raja Saul, raja pilihan TUHAN.”
Raja menjawab, “Baiklah, beta akan menyerahkan mereka kepada kamu.”
7 Oleh sebab Raja Daud dan Yonatan sudah bersumpah kepada satu sama lain, Raja Daud tidak menyerahkan Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul, kepada mereka. 8 Tetapi Raja Daud menyerahkan Armoni dan Mefiboset kepada mereka, iaitu dua orang putera Raja Saul yang dilahirkan oleh Rizpa anak Aya. Raja Daud juga menyerahkan lima orang anak lelaki Merab puteri Raja Saul, iaitu anak-anak Merab dan suaminya Adriel anak Barzilai, yang berasal dari Mehola. 9Raja Daud menyerahkan mereka kepada orang Gibeon. Orang Gibeon menggantung mereka di atas gunung di hadapan TUHAN, dan ketujuh-tujuh orang itu mati. Hukuman mati itu dilaksanakan pada akhir musim bunga, ketika musim menuai barli baru bermula.
10Kemudian Rizpa gundik Raja Saul, membentangkan kain guni untuk dirinya di atas batu tempat mayat-mayat itu terlantar. Dia tinggal di situ dari permulaan musim menuai sehingga hujan turun pada musim luruh. Pada siang hari dia mengusir burung daripada menghinggapi mayat, dan pada malam hari, dia melindungi mayat itu daripada binatang buas.
11Apabila Raja Daud mendengar apa yang dilakukan oleh Rizpa, 12 Raja Daud pergi mengambil tulang-tulang Raja Saul dan puteranya Yonatan, dari penduduk kota Yabes di Gilead. (Penduduk Yabes telah mencuri tulang-tulang itu dari padang kota di Bet-San, tempat orang Filistin menggantung mayat-mayat itu pada hari mereka membunuh Raja Saul di Gunung Gilboa.) 13Raja Daud mengambil tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, lalu mengumpulkan juga tulang-tulang tujuh orang yang telah digantung itu. 14Selepas itu tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, serta tulang-tulang tujuh orang itu dikuburkan di kubur Kish, ayahanda Raja Saul, di Zela di dalam wilayah Benyamin, sebagaimana yang diperintahkan raja. Selepas itu barulah Allah mengabulkan doa mereka bagi negeri itu.
Pertempuran Melawan Raksasa Filistin
(1 Taw 20.4-8)
15Suatu peperangan terjadi lagi antara orang Filistin dan umat Israel, lalu Raja Daud dan anak buahnya pergi berperang melawan orang Filistin. Dalam salah satu pertempuran itu Raja Daud menjadi letih. 16Ketika itu seorang raksasa bernama Yisbi-Benob menyangka bahawa dia dapat membunuh Raja Daud. Raksasa itu membawa sebatang tombak gangsa yang beratnya kira-kira 3.5 kilogram, dan dia menyandang sebilah pedang yang baru. 17 Tetapi Abisai anak Zeruya, datang menolong Raja Daud. Abisai menyerang raksasa itu dan membunuh dia. Kemudian anak buah Raja Daud memohon supaya Raja Daud berjanji tidak akan pergi bertempur lagi bersama dengan mereka. “Tuanku adalah harapan Israel,” kata mereka. “Kami tidak mahu kehilangan tuanku.”
18Selepas itu berlaku lagi satu pertempuran antara umat Israel dengan orang Filistin di Gob. Sibkhai, orang dari Husa, membunuh seorang raksasa yang bernama Saf.
19Dalam pertempuran lain dengan orang Filistin di Gob, Elhanan anak Yair, orang dari Betlehem membunuh Goliat yang berasal dari Gat. Gagang tombak Goliat sebesar kayu alat tenun.
20Selepas itu ada satu lagi pertempuran di Gat. Di sana ada seorang raksasa yang suka sekali berperang. Dia mempunyai enam jari pada setiap tangan dan kakinya. 21Dia mengejek umat Israel, dan Yonatan anak Simea, membunuh dia. Simea ialah abang Raja Daud.
22Keempat-empat orang itu keturunan raksasa dari Gat dan semuanya dibunuh oleh Raja Daud dan anak buah baginda.

Terpilih Sekarang Ini:

2 SAMUEL 21: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk