Pada suatu petang, setelah Raja Daud bangun daripada tidur, baginda pergi berjalan-jalan di bumbung istana yang rata. Dari situ baginda nampak seorang wanita sedang mandi, dan wanita itu sangat cantik. Kemudian Raja Daud menyuruh orang menanyakan siapa wanita itu. Raja Daud diberitahu bahawa wanita itu Batsyeba anak Eliam, isteri Uria orang Het. Raja Daud menyuruh orang menjemput Batsyeba. Setelah Batsyeba tiba di istana, Raja Daud berseketiduran dengan dia. (Pada masa itu Batsyeba baru sahaja selesai melakukan upacara penyucian diri selepas haid.) Kemudian Batsyeba pulang ke rumahnya. Beberapa waktu kemudian Batsyeba mendapati dirinya hamil, lalu dia mengirim khabar tentang hal itu kepada Raja Daud. Kemudian Raja Daud mengirim perintah kepada Yoab, “Suruhlah Uria orang Het itu datang menghadap beta.” Lalu Yoab menyuruh Uria pergi menghadap Raja Daud. Apabila Uria sampai, Raja Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab dan tentera Israel, dan keadaan peperangan. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah sebentar.” Setelah Uria meninggalkan istana, Raja Daud mengirim hadiah ke rumah Uria. Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Malam itu dia tidur di pintu gerbang istana bersama-sama para pengawal raja. Apabila Raja Daud diberitahu bahawa Uria tidak pulang ke rumahnya, baginda bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau baru pulang dari perjalanan jauh? Mengapa engkau tidak pulang ke rumahmu?” Uria menjawab, “Tentera Israel dan Yehuda sedang berjuang di medan peperangan, dan Tabut Perjanjian TUHAN ada bersama-sama mereka. Yoab, panglima kami dan para pegawai tenteranya juga sedang berkhemah di padang terbuka. Bagaimana mungkin hamba pulang, makan minum, dan tidur dengan isteri hamba? Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak akan melakukan hal itu!” Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika demikian, tinggallah di sini hari ini. Esok beta akan mengizinkan engkau pulang.” Oleh itu Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu. Keesokan harinya Raja Daud menjemput Uria ke jamuan malam dan membuatnya mabuk. Tetapi malam itu juga Uria tidak pulang ke rumahnya, melainkan tidur beralaskan selimutnya di dalam bilik pengawal istana. Esok paginya Raja Daud menulis sepucuk surat kepada Yoab, dan menitipkan surat itu kepada Uria. Demikianlah kandungan surat itu, “Suruhlah Uria pergi ke barisan hadapan, tempat pertempuran yang paling sengit. Setelah itu perintahkanlah pasukanmu undur tanpa pengetahuan Uria, supaya Uria terbunuh.”
Baca 2 SAMUEL 11
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: 2 SAMUEL 11:2-15
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video