2 RAJA-RAJA 4:38-44

2 RAJA-RAJA 4:38-44 BM

Pada suatu masa, ketika kebuluran berlaku di seluruh negeri itu, Elisa pulang ke Gilgal. Sementara dia mengajar sekumpulan nabi, dia menyuruh hambanya memasak makanan di dalam sebuah periuk yang besar bagi mereka. Seorang daripada mereka keluar untuk mencari sayur, lalu menjumpai tanaman labu liar. Dia memetik seberapa banyak buah labu yang dapat diangkatnya, lalu membawanya pulang. Dia memotong-motong buah itu lalu memasukkannya ke dalam periuk tanpa mengetahui apa sebenarnya buah itu. Kemudian makanan itu dihidangkan. Tetapi apabila mereka mulai makan, mereka berkata kepada Elisa, “Makanan ini beracun!” Mereka tidak mahu memakannya. Oleh itu Elisa meminta sedikit tepung, lalu memasukkannya ke dalam periuk. Setelah itu dia berkata, “Hidangkan lagi makanan itu.” Ternyata makanan itu tidak berbahaya. Pada suatu hari yang lain, seorang lelaki datang dari Baal-Salisa. Dia membawa dua puluh buku roti yang dibuat daripada barli yang mula-mula dituai pada tahun itu, untuk Elisa. Lelaki itu juga membawa gandum yang baru. Elisa menyuruh pelayannya membahagi-bahagikan roti itu kepada para nabi. Tetapi pelayannya berkata, “Tidak mungkin cukup untuk seratus orang!” Elisa berkata, “Bahagi-bahagikanlah makanan ini, kerana menurut firman TUHAN mereka akan makan, dan setelah makan, masih ada kelebihan makanan!” Pelayan itu membahagi-bahagikan makanan itu kepada mereka, lalu mereka semua makan. Setelah makan, masih ada kelebihan makanan seperti yang difirmankan TUHAN.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 2 RAJA-RAJA 4:38-44