2 RAJA-RAJA 4:38-44

2 RAJA-RAJA 4:38-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu masa, ketika kebuluran berlaku di seluruh negeri itu, Elisa pulang ke Gilgal. Sementara dia mengajar sekumpulan nabi, dia menyuruh hambanya memasak makanan di dalam sebuah periuk yang besar bagi mereka. Seorang daripada mereka keluar untuk mencari sayur, lalu menjumpai tanaman labu liar. Dia memetik seberapa banyak buah labu yang dapat diangkatnya, lalu membawanya pulang. Dia memotong-motong buah itu lalu memasukkannya ke dalam periuk tanpa mengetahui apa sebenarnya buah itu. Kemudian makanan itu dihidangkan. Tetapi apabila mereka mulai makan, mereka berkata kepada Elisa, “Makanan ini beracun!” Mereka tidak mahu memakannya. Oleh itu Elisa meminta sedikit tepung, lalu memasukkannya ke dalam periuk. Setelah itu dia berkata, “Hidangkan lagi makanan itu.” Ternyata makanan itu tidak berbahaya. Pada suatu hari yang lain, seorang lelaki datang dari Baal-Salisa. Dia membawa dua puluh buku roti yang dibuat daripada barli yang mula-mula dituai pada tahun itu, untuk Elisa. Lelaki itu juga membawa gandum yang baru. Elisa menyuruh pelayannya membahagi-bahagikan roti itu kepada para nabi. Tetapi pelayannya berkata, “Tidak mungkin cukup untuk seratus orang!” Elisa berkata, “Bahagi-bahagikanlah makanan ini, kerana menurut firman TUHAN mereka akan makan, dan setelah makan, masih ada kelebihan makanan!” Pelayan itu membahagi-bahagikan makanan itu kepada mereka, lalu mereka semua makan. Setelah makan, masih ada kelebihan makanan seperti yang difirmankan TUHAN.

2 RAJA-RAJA 4:38-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Elisa kembali ke Gilgal, ada bencana kebuluran di negeri itu. Suatu ketika, sementara rombongan nabi duduk di hadapannya, dia berkata kepada pembantunya, “Jerangkanlah kuali besar dan olahlah suatu masakan untuk rombongan nabi ini.” Kemudian seorang daripada mereka keluar ke ladang untuk memetik sayur-sayuran. Dia menemukan sulur-suluran liar, lalu dipetiknya daripada tanaman itu labu liar, serangkul penuh di dalam pakaiannya. Setelah pulang, dia menghiris-hiris tanaman itu dan memasukkannya ke dalam kuali tadi, tanpa mengetahui sayur apa itu. Kemudian masakan tadi dicedoknya untuk dimakan oleh rombongan nabi itu. Tetapi pada waktu mereka memakan masakan itu, berteriaklah mereka dan berkata, “Ada maut di dalam kuali ini, ya hamba Allah!” Mereka tidak dapat memakannya. Kata Elisa, “Ambillah tepung!” Dilemparkannya tepung itu ke dalam kuali lalu berkata, “Hidangkan kepada mereka untuk dimakan.” Maka tidak ada lagi sesuatu yang berbahaya di dalam kuali itu. Seorang lelaki datang dari Baal-Salisa dengan membawa bagi hamba Allah dua puluh buku roti daripada hasil barli pertama, serta gandum baru di dalam karungnya. Kata Elisa, “Berikanlah kepada orang itu untuk mereka makan.” Tetapi pembantunya berkata, “Bagaimanakah mungkin ini disajikan untuk seratus orang?” Kata Elisa, “Berikanlah kepada orang itu untuk mereka makan, kerana beginilah firman TUHAN, ‘Makanan itu akan cukup bagi mereka bahkan akan ada sisanya.’ ” Kemudian disajikannya makanan itu di depan mereka. Mereka pun makan, dan ada sisanya, selaras dengan firman TUHAN.