2 KORINTUS 4:4-15

2 KORINTUS 4:4-15 BM

Mereka tidak mahu percaya kepada berita yang kami khabarkan, kerana Iblis yang menguasai dunia ini menjadikan fikiran mereka tertutup. Mereka tidak dapat melihat cahaya yang menyinari mereka. Cahaya itu daripada Berita Baik tentang kemuliaan Kristus, yang merupakan gambaran Allah. Kami tidak menyampaikan berita tentang diri kami sendiri. Kami mengisytiharkan Yesus Kristus itu Tuhan, dan kami ini hamba kamu kerana Yesus. Allah yang berfirman, “Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.” Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus. Tetapi kami yang memiliki harta rohaniah ini, seperti bekas yang dibuat daripada tanah. Dengan demikian nyatalah bahawa kekuasaan tertinggi dimiliki oleh Allah, bukan kami. Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan. Banyak orang memusuhi kami, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa. Kami selalu menghadapi ancaman hukuman mati seperti yang dialami oleh Yesus, supaya kehidupan-Nya pun nyata pada tubuh kami. Sepanjang hidup kami, kami sentiasa diancam oleh kematian kerana Yesus, supaya kehidupan Yesus pun nyata pada tubuh kami yang fana. Hal ini bererti bahawa kami sentiasa menghadapi ancaman kematian, tetapi kamu mendapat hidup. Di dalam Alkitab tertulis, “Aku berkata-kata kerana aku percaya kepada Allah.” Dengan kepercayaan seperti itu, kami pun berkata-kata kerana kami percaya. Kami tahu bahawa Allah yang sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, akan membangkitkan kami juga dengan Yesus, dan membawa kamu serta kami ke hadirat Yesus. Semua ini untuk kebaikan kamu. Kerana semakin banyak orang mengalami rahmat Allah, semakin banyak pula doa kesyukuran yang disampaikan kepada Allah. Dengan demikian Allah dimuliakan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 2 KORINTUS 4:4-15