2 KORINTUS 11:22-33

2 KORINTUS 11:22-33 BM

Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani. Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham. Adakah mereka hamba Kristus? Mungkin kedengarannya aku ini gila, tetapi aku ini hamba yang lebih baik daripada mereka. Aku bekerja lebih keras, aku lebih sering dipenjarakan, aku lebih sering disesah dan aku kerap kali menghadapi maut. Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali. Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam. Aku sering berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura menjadi pengikut Kristus. Aku bekerja mati-matian, kerap kali tidak makan, tidak minum dan tidak tidur, lapar, kesejukan kerana kurang pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal. Di samping kesusahan yang lain, setiap hari aku mengkhuatirkan keadaan jemaah di semua tempat. Apabila seseorang lemah, aku berasa lemah juga. Apabila seseorang berdosa, aku juga bersedih hati. Jika aku mesti berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. Allah, Bapa Tuhan Yesus tahu bahawa aku tidak berdusta. Terpujilah nama-Nya selama-lamanya. Ketika aku di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas memerintahkan askar-askarnya menjaga pintu kota untuk menangkap aku. Tetapi dengan sebuah keranjang aku dihulurkan ke bawah melalui suatu lubang pada tembok kota. Demikianlah aku menyelamatkan diri daripadanya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami