2 TAWARIKH 14

14
Raja Asa Mengalahkan Orang Etiopia
1Raja Abia mangkat dan dikebumikan di makam diraja di Kota Daud. Puteranya Asa menggantikan baginda sebagai raja. Di bawah pemerintahan Raja Asa, Yehuda aman selama sepuluh tahun. 2Oleh sebab perbuatannya yang baik dan adil, Raja Asa diperkenankan TUHAN, Allahnya. 3Raja Asa membuang mazbah-mazbah bangsa asing dan tempat-tempat penyembahan berhala. Baginda merobohkan tiang-tiang berhala dan tugu-tugu Dewi Asyera. 4Baginda menyuruh penduduk Yehuda melakukan kehendak TUHAN, Allah nenek moyang mereka, dan taat kepada ajaran dan perintah-Nya. 5Oleh sebab baginda menyingkirkan tempat-tempat penyembahan berhala dan mazbah-mazbah kemenyan di semua kota Yehuda, kerajaan itu aman di bawah pemerintahannya. 6Baginda membina kubu bagi kota-kota Yehuda pada masa itu, dan selama beberapa tahun peperangan tidak berlaku, kerana TUHAN mengurniakan keamanan kepadanya. 7Raja Asa bertitah kepada penduduk Yehuda, “Marilah kita membina tembok-tembok, menara-menara, dan pintu-pintu gerbang yang berpalang untuk memperkuat kota-kota ini. Kita dapat menguasai negeri ini kerana kita telah melakukan kehendak TUHAN, Allah kita. Dia telah melindungi kita dan memberikan keamanan di seluruh negeri kita.” Demikianlah mereka memulakan pembinaan dan menyelesaikan pekerjaan itu dengan baik. 8Raja Asa mempunyai tentera sebanyak 300,000 orang askar dari Yehuda, lengkap dengan perisai serta tombak, dan 280,000 orang askar dari Benyamin, lengkap dengan perisai dan busur. Segenap tentera itu terdiri daripada askar yang terlatih dan gagah berani.
9Pada suatu masa seorang bangsa Etiopia bernama Zerah menyerang Yehuda dengan askar sebanyak sejuta orang dan 300 buah kereta kuda. Mereka maju sampai ke Maresa. 10Raja Asa keluar untuk menentang Zerah, dan masing-masing membuat pertahanan di Lembah Zefata dekat Maresa. 11Raja Asa berdoa kepada TUHAN, Allahnya, “Ya TUHAN, Engkau sanggup menolong tentera yang lemah sebagaimana Engkau menolong pasukan yang kuat. Sekarang tolonglah kami, ya TUHAN, Allah kami, kerana kami bersandar kepada-Mu. Demi nama-Mu, kami sekarang keluar berperang dengan tentera yang besar ini. Engkaulah Allah kami, ya TUHAN; tiada sesiapa pun dapat berharap mengalahkan Engkau.”
12Apabila Raja Asa dan tentera Yehuda melancarkan serangan, TUHAN mengalahkan tentera orang Etiopia. Mereka melarikan diri, 13lalu Raja Asa dengan tenteranya mengejar mereka sampai ke Gerar. Banyak sekali orang Etiopia yang terbunuh. Tentera Etiopia menjadi lemah sehingga mereka tidak dapat bertahan dan bertempur. Mereka dikalahkan oleh TUHAN dan tentera-Nya. Tentera Yehuda mendapat banyak sekali barang jarahan. 14Selepas itu mereka berjaya memusnahkan kota-kota di sekitar Gerar kerana TUHAN menyebabkan penduduk di situ ketakutan. Tentera Yehuda menjarah semua kota itu dan mendapat banyak sekali barang jarahan. 15Mereka juga menyerang beberapa perkhemahan gembala dan merampas banyak domba dan unta. Kemudian mereka pulang ke Yerusalem.

Terpilih Sekarang Ini:

2 TAWARIKH 14: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk