Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa. Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Allah, hendaklah begitu baik sehingga apabila mereka menuduh kamu sebagai orang jahat, mereka terpaksa mengakui perbuatan kamu yang baik, dan memuji Allah pada hari Allah datang untuk menghukum orang.
Demi Tuhan, hendaklah kamu taat kepada pemerintah, baik kepada Kaisar yang menjadi penguasa yang terutama, mahupun kepada gabenor yang dilantik oleh Kaisar untuk menghukum orang jahat, dan untuk memuji orang yang berbuat baik. Allah mahu kamu melakukan perbuatan baik supaya orang yang bercakap bodoh tidak berpeluang memfitnah kamu. Hiduplah sebagai orang bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan kamu untuk menutupi kejahatan, melainkan hiduplah sebagai abdi Allah. Hormatilah semua orang, kasihilah sesama saudara seiman, takutlah akan Allah, dan hormatilah Kaisar.
Hamba, taatlah kepada tuan kamu, dan hormati mereka dengan sepenuhnya, bukan sahaja mereka yang baik hati dan bertimbang rasa, tetapi juga mereka yang kejam. Allah akan memberkati kamu, jika kamu dengan tabah menanggung perlakuan yang tidak adil kerana kamu tahu akan kehendak Allah. Apakah keistimewaannya, jika kamu menanggung hukuman yang memang harus kamu tanggung kerana bersalah? Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan apabila dihukum kerana melakukan yang benar, Allah akan memberkati kamu. Untuk hal inilah Allah memanggil kamu, kerana Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejak-Nya. Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta. Apabila Dia dicerca, Dia tidak membalas dengan cercaan. Pada waktu Dia menanggung penderitaan, Dia tidak mengancam orang, tetapi Dia mempercayakan diri kepada Allah, Hakim yang adil itu. Kristus sendiri memikul dosa kita pada tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita bebas daripada kuasa dosa, lalu hidup menurut kehendak Allah. Luka-luka Kristuslah yang menyembuhkan kamu.