Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.” Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan. Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!”
Baca 1 RAJA-RAJA 18
Kongsi
Kemudian Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekat dengan saya.” Lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Elia mula memperbaiki mazbah TUHAN yang telah rosak itu. Dia mengambil dua belas buah batu, setiap batu mewakili salah satu daripada dua belas suku keturunan Yakub, iaitu orang yang diberikan nama Israel oleh TUHAN. Dengan batu-batu itu, Elia membina semula mazbah tempat beribadat kepada TUHAN. Di sekeliling mazbah itu Elia menggali parit yang boleh menampung air sebanyak kira-kira lima belas liter. Kemudian dia meletakkan kayu api di atas mazbah, memotong-motong lembu jantan itu dan meletakkannya di atas kayu api. Elia berkata, “Penuhilah empat buah buyung dengan air, lalu tuanglah air itu ke atas korban dan kayu ini.” Mereka melakukan suruhan itu. Elia berkata, “Buatlah lagi.” Mereka melakukannya lagi. “Buatlah sekali lagi,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya sekali lagi, sehingga air mengalir di sekeliling mazbah itu dan paritnya dipenuhi air. Pada masa mempersembahkan korban petang, Nabi Elia menghampiri mazbah itu dan berdoa, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, sekarang buktikanlah bahawa Engkau Allah Israel dan bahawa aku hamba-Mu. Buktikanlah juga bahawa aku melakukan semua ini menurut perintah-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN. Jawablah aku supaya umat ini tahu bahawa Engkau, TUHAN ialah Allah, dan bahawa Engkau sedang membawa mereka kembali kepada-Mu.” Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering.
Bandingkan Semua Versi: 1 RAJA-RAJA 18:25-27, 30-38
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video