1 RAJA-RAJA 18:17-40

1 RAJA-RAJA 18:17-40 BM

Apabila Raja Ahab nampak Elia, Raja Ahab bertitah, “Ini dia si pengacau di Israel!” Elia menjawab, “Hamba bukan pengacau. Tuanku dan keluarga tuankulah pengacau itu. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN dan tuanku menyembah berhala Baal. Sekarang perintahlah segenap umat Israel untuk menemui hamba di Gunung Karmel. Bawalah empat ratus lima puluh orang nabi Baal dan empat ratus orang nabi Dewi Asyera yang dibiayai oleh Permaisuri Izebel.” Kemudian Raja Ahab memerintahkan segenap umat Israel dan nabi Baal berkumpul di Gunung Karmel. Elia menghadap umat itu dan berkata, “Sampai bilakah kamu tetap mendua hati? Jika TUHAN itu Allah, sembahlah TUHAN; tetapi jika Baal itu Allah, sembahlah Baal!” Tetapi umat itu tidak menjawab apa-apa. Lalu Elia berkata, “Nabi TUHAN hanya tinggal saya seorang, sedangkan nabi Baal ada empat ratus lima puluh orang. Bawalah dua ekor lembu jantan; biarlah nabi-nabi Baal mengambil seekor, menyembelihnya, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan nyalakan api. Saya juga akan berbuat demikian dengan lembu jantan yang seekor lagi. Biarlah nabi-nabi Baal berdoa kepada dewa mereka, dan saya akan berdoa kepada TUHAN. Yang menjawab dengan mengirim api, Dialah Allah.” Dengan suara yang kuat segenap rakyat berseru bahawa mereka bersetuju. Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.” Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan. Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!” Oleh itu, nabi-nabi Baal berdoa dengan lebih kuat lagi. Mereka juga meluka-lukai badan dengan pedang dan tombak menurut adat mereka, sehingga darah bercucuran. Mereka terus bergembar-gembur sehingga jauh petang, tetapi tidak ada yang menjawab, dan tidak ada bunyi yang terdengar. Kemudian Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekat dengan saya.” Lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Elia mula memperbaiki mazbah TUHAN yang telah rosak itu. Dia mengambil dua belas buah batu, setiap batu mewakili salah satu daripada dua belas suku keturunan Yakub, iaitu orang yang diberikan nama Israel oleh TUHAN. Dengan batu-batu itu, Elia membina semula mazbah tempat beribadat kepada TUHAN. Di sekeliling mazbah itu Elia menggali parit yang boleh menampung air sebanyak kira-kira lima belas liter. Kemudian dia meletakkan kayu api di atas mazbah, memotong-motong lembu jantan itu dan meletakkannya di atas kayu api. Elia berkata, “Penuhilah empat buah buyung dengan air, lalu tuanglah air itu ke atas korban dan kayu ini.” Mereka melakukan suruhan itu. Elia berkata, “Buatlah lagi.” Mereka melakukannya lagi. “Buatlah sekali lagi,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya sekali lagi, sehingga air mengalir di sekeliling mazbah itu dan paritnya dipenuhi air. Pada masa mempersembahkan korban petang, Nabi Elia menghampiri mazbah itu dan berdoa, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, sekarang buktikanlah bahawa Engkau Allah Israel dan bahawa aku hamba-Mu. Buktikanlah juga bahawa aku melakukan semua ini menurut perintah-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN. Jawablah aku supaya umat ini tahu bahawa Engkau, TUHAN ialah Allah, dan bahawa Engkau sedang membawa mereka kembali kepada-Mu.” Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering. Apabila umat nampak kejadian itu, mereka bersujud sambil berkata, “TUHAN ialah Allah; TUHAN satu-satunya Allah!” Lalu Elia memberikan perintah, “Tangkaplah nabi-nabi Baal; jangan biar seorang pun melarikan diri!” Mereka menangkap semua nabi itu. Elia membawa mereka ke Sungai Kison lalu membunuh mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami