1 RAJA-RAJA 18:17-40

1 RAJA-RAJA 18:17-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Raja Ahab nampak Elia, Raja Ahab bertitah, “Ini dia si pengacau di Israel!” Elia menjawab, “Hamba bukan pengacau. Tuanku dan keluarga tuankulah pengacau itu. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN dan tuanku menyembah berhala Baal. Sekarang perintahlah segenap umat Israel untuk menemui hamba di Gunung Karmel. Bawalah empat ratus lima puluh orang nabi Baal dan empat ratus orang nabi Dewi Asyera yang dibiayai oleh Permaisuri Izebel.” Kemudian Raja Ahab memerintahkan segenap umat Israel dan nabi Baal berkumpul di Gunung Karmel. Elia menghadap umat itu dan berkata, “Sampai bilakah kamu tetap mendua hati? Jika TUHAN itu Allah, sembahlah TUHAN; tetapi jika Baal itu Allah, sembahlah Baal!” Tetapi umat itu tidak menjawab apa-apa. Lalu Elia berkata, “Nabi TUHAN hanya tinggal saya seorang, sedangkan nabi Baal ada empat ratus lima puluh orang. Bawalah dua ekor lembu jantan; biarlah nabi-nabi Baal mengambil seekor, menyembelihnya, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan nyalakan api. Saya juga akan berbuat demikian dengan lembu jantan yang seekor lagi. Biarlah nabi-nabi Baal berdoa kepada dewa mereka, dan saya akan berdoa kepada TUHAN. Yang menjawab dengan mengirim api, Dialah Allah.” Dengan suara yang kuat segenap rakyat berseru bahawa mereka bersetuju. Selepas itu Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab kamu banyak, biarlah kamu yang menyiapkan lembu jantan itu dahulu. Berdoalah kepada dewa kamu, tetapi jangan nyalakan api pada kayu itu.” Mereka mengambil seekor lembu jantan yang telah diberikan kepada mereka, menyiapkannya, lalu berdoa kepada Baal sehingga tengah hari. Mereka berseru, “Jawablah kami, ya Baal!” Mereka berbuat demikian sambil menari-nari di sekeliling mazbah yang telah dibina, tetapi tidak ada jawapan. Pada tengah hari, Elia mula mengolok-olok mereka, “Berdoalah lebih kuat lagi!” katanya. “Baal tuhan, bukan? Mungkin dia sedang melamun atau pergi ke tandas. Mungkin juga dia sedang pergi ke tempat lain! Atau mungkin juga dia sedang tidur, dan kamu harus membangunkan dia!” Oleh itu, nabi-nabi Baal berdoa dengan lebih kuat lagi. Mereka juga meluka-lukai badan dengan pedang dan tombak menurut adat mereka, sehingga darah bercucuran. Mereka terus bergembar-gembur sehingga jauh petang, tetapi tidak ada yang menjawab, dan tidak ada bunyi yang terdengar. Kemudian Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekat dengan saya.” Lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Elia mula memperbaiki mazbah TUHAN yang telah rosak itu. Dia mengambil dua belas buah batu, setiap batu mewakili salah satu daripada dua belas suku keturunan Yakub, iaitu orang yang diberikan nama Israel oleh TUHAN. Dengan batu-batu itu, Elia membina semula mazbah tempat beribadat kepada TUHAN. Di sekeliling mazbah itu Elia menggali parit yang boleh menampung air sebanyak kira-kira lima belas liter. Kemudian dia meletakkan kayu api di atas mazbah, memotong-motong lembu jantan itu dan meletakkannya di atas kayu api. Elia berkata, “Penuhilah empat buah buyung dengan air, lalu tuanglah air itu ke atas korban dan kayu ini.” Mereka melakukan suruhan itu. Elia berkata, “Buatlah lagi.” Mereka melakukannya lagi. “Buatlah sekali lagi,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya sekali lagi, sehingga air mengalir di sekeliling mazbah itu dan paritnya dipenuhi air. Pada masa mempersembahkan korban petang, Nabi Elia menghampiri mazbah itu dan berdoa, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, sekarang buktikanlah bahawa Engkau Allah Israel dan bahawa aku hamba-Mu. Buktikanlah juga bahawa aku melakukan semua ini menurut perintah-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN. Jawablah aku supaya umat ini tahu bahawa Engkau, TUHAN ialah Allah, dan bahawa Engkau sedang membawa mereka kembali kepada-Mu.” Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering. Apabila umat nampak kejadian itu, mereka bersujud sambil berkata, “TUHAN ialah Allah; TUHAN satu-satunya Allah!” Lalu Elia memberikan perintah, “Tangkaplah nabi-nabi Baal; jangan biar seorang pun melarikan diri!” Mereka menangkap semua nabi itu. Elia membawa mereka ke Sungai Kison lalu membunuh mereka.

1 RAJA-RAJA 18:17-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu Ahab melihat Elia, Ahab berkata kepadanya, “Engkaukah ini, wahai orang yang menyusahkan Israel?” Jawabnya, “Bukan aku yang menyusahkan Israel, melainkan engkau dan kaum keluargamu, kerana kamu telah meninggalkan perintah-perintah TUHAN lalu mengikuti para Baal. Sekarang, kumpulkanlah semua orang Israel lalu temui aku di Gunung Karmel. Ajak pula empat ratus lima puluh orang nabi Baal itu, dan empat ratus orang nabi Asyera, yang mendapat makanan dari meja Izebel.” Ahab mengirim utusan ke seluruh orang Israel dan mengumpulkan nabi-nabi di Gunung Karmel. Kemudian Elia mendekati seluruh rakyat itu dan berkata, “Berapa lama lagi kamu akan berjalan tempang dengan hati yang bercabang? Jika TUHAN itu Allah, ikutilah Dia, tetapi jika Baal itu Allah, ikutilah dia.” Rakyat tidak menjawab dia sepatah kata pun. Kemudian Elia berkata kepada rakyat, “Hanya aku sendiri inilah yang masih tinggal sebagai nabi TUHAN, manakala nabi-nabi Baal itu ada empat ratus lima puluh orang jumlahnya. Berilah kami dua ekor lembu jantan. Mereka boleh memilih seekor lembu untuk mereka, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan letakkan api pada kayu api itu. Aku akan mengolah lembu yang seekor lagi, meletakkannya di atas kayu api, juga tanpa meletakkan api pada kayu api itu. Serulah nama tuhanmu dan aku pula akan menyeru nama TUHAN. Yang menjawab dengan api, dialah Allah.” Kata seluruh rakyat itu, “Usul yang baik!” Kemudian berkatalah Elia kepada nabi-nabi Baal itu, “Pilihlah seekor lembu untukmu dan olahlah lebih dahulu, kerana kamu ramai jumlahnya. Serulah nama tuhanmu, tetapi jangan letakkan api.” Maka mereka mengambil lembu yang diberikan kepada mereka, mengolahnya, lalu memanggil nama Baal dari pagi sampai tengah hari. Mereka berseru-seru, “Ya Baal, jawablah kami!” Tetapi tidak ada suara dan tidak ada yang menjawab. Sementara itu mereka berkinja-kinja di sekeliling mazbah yang dibuat mereka. Pada tengah hari Elia mengolok-olok mereka, katanya, “Panggillah dengan suara nyaring! Bukankah dia itu tuhan? Mungkin dia sedang berfikir, mungkin dia sedang melegakan diri di bilik air, mungkin dia sedang dalam perjalanan. Jangan-jangan dia tertidur dan harus dibangunkan.” Maka mereka memanggil dengan suara nyaring dan menoreh-noreh diri dengan pedang dan tombak seperti yang biasa dilakukan mereka, sehingga darah bercucuran daripada tubuh mereka. Setelah berlalunya tengah hari, mereka terus meramal sampai waktu mempersembahkan persembahan petang. Namun demikian, tidak ada suara, tidak ada yang menjawab, dan tidak ada yang memberi perhatian. Lalu kata Elia kepada seluruh rakyat, “Datanglah dekat kepadaku!” Maka seluruh rakyat pun mendekatinya. Kemudian Elia memperbaik mazbah TUHAN yang telah diruntuhkan itu. Seterusnya Elia mengambil dua belas buah batu selaras dengan jumlah suku bani Yakub — kepada Yakub ini pernah datang firman TUHAN demikian, “Namamu akan menjadi Israel.” Dengan batu-batu itu dibinanya suatu mazbah demi nama TUHAN dan dibuatnya parit di sekeliling mazbah itu, yang dapat memuat benih sebanyak dua sukatan. Diaturnya kayu api, lalu dipotong-potongnya lembu itu, dan diletakkannya di atas kayu api. Kemudian dia berkata, “Isilah empat buah tempayan dengan air, lalu curahkanlah air itu ke atas korban bakaran dan juga kayu api itu.” Katanya, “Buatlah begitu untuk kali kedua.” Lalu mereka melakukan hal itu untuk kali keduanya. Katanya lagi, “Buatlah begitu untuk kali ketiga.” Maka mereka melakukannya lagi untuk kali ketiga. Air pun mengalir daripada mazbah itu, memenuhi parit di sekelilingnya. Ketika tiba waktu mempersembahkan persembahan petang, majulah Nabi Elia dan berkata, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, biarlah pada hari ini mereka tahu bahawa Engkaulah Allah di Israel, bahawa aku ini hamba-Mu, dan bahawa aku melakukan segala hal ini berdasarkan firman-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN, jawablah aku, supaya umat ini tahu bahawa Engkau, ya TUHAN, sememangnya Allah, dan bahawa Engkaulah yang membuat hati mereka berbalik kembali.” Maka turunlah api TUHAN melahap korban bakaran, kayu api, batu-batu, dan debu tanah, serta menjilat air yang ada di dalam parit itu. Ketika seluruh rakyat melihat hal itu, sujudlah mereka lalu berkata, “TUHAN, Dialah Allah! TUHAN, Dialah Allah!” Kata Elia kepada mereka, “Tangkaplah nabi-nabi Baal itu. Jangan biarkan terlepas seorang pun daripada mereka!” Mereka pun ditangkap, lalu Elia membawa mereka turun ke Sungai Kison dan menyembelih mereka di sana.