1 YOHANES 3:1-10

1 YOHANES 3:1-10 BM

Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah. Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, kerana dunia ini tidak mengenal Allah. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Allah, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya. Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci. Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah. Kamu tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa manusia, dan bahawa pada diri-Nya tidak ada dosa. Oleh itu, setiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus-menerus berbuat dosa. Sesiapa yang terus-menerus berbuat dosa, tidak pernah melihat Kristus ataupun mengenal Dia. Anak-anakku, janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu. Sesiapa melakukan kehendak Allah, dia anak Allah, seperti Kristus. Sesiapa terus-menerus berbuat dosa, dia anak Iblis, kerana Iblis berdosa sejak permulaan. Justeru untuk hal inilah Anak Allah datang bagi memusnahkan pekerjaan Iblis. Sesiapa yang menjadi anak Allah, tidak terus-menerus berbuat dosa kerana sifat Allah sendiri ada padanya. Kerana Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus-menerus berbuat dosa. Inilah perbezaan antara anak Allah dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Allah, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami