1 KORINTUS 6:9-20

1 KORINTUS 6:9-20 BM

Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Allah tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Janganlah tipu diri kamu sendiri. Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit, atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak - semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Demikianlah keadaan beberapa orang antara kamu dahulu. Tetapi Tuhan Yesus Kristus dan kuasa Roh daripada Allah kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Allah, dan membolehkan kamu berbaik semula dengan Allah. Mungkin seseorang berkata, “Aku dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah bagi kita. Aku pun dapat berkata bahawa aku dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan sesuatu pun memperhamba diriku. Seorang lain berkata, “Makanan untuk perut dan perut untuk makanan.” Betul, tetapi Allah akan meniadakan kedua-duanya. Tubuh kita tidak boleh digunakan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, dan Tuhan akan memelihara tubuh kita. Allah sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, demikian juga Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya. Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu anggota tubuh Kristus. Oleh itu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus lalu menjadikannya anggota tubuh seorang pelacur? Sekali-kali tidak! Atau mungkinkah kamu tidak tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur, menjadi satu dengan pelacur itu? Di dalam Alkitab tertulis dengan jelas, “Kedua-duanya menjadi satu.” Tetapi seseorang yang menyatukan diri dengan Tuhan, roh orang itu menjadi satu dengan Roh Tuhan. Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri! Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami