1 KORINTUS 6:9-20

1 KORINTUS 6:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Allah tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Janganlah tipu diri kamu sendiri. Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit, atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak - semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Demikianlah keadaan beberapa orang antara kamu dahulu. Tetapi Tuhan Yesus Kristus dan kuasa Roh daripada Allah kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Allah, dan membolehkan kamu berbaik semula dengan Allah. Mungkin seseorang berkata, “Aku dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah bagi kita. Aku pun dapat berkata bahawa aku dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan sesuatu pun memperhamba diriku. Seorang lain berkata, “Makanan untuk perut dan perut untuk makanan.” Betul, tetapi Allah akan meniadakan kedua-duanya. Tubuh kita tidak boleh digunakan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, dan Tuhan akan memelihara tubuh kita. Allah sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, demikian juga Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya. Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu anggota tubuh Kristus. Oleh itu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus lalu menjadikannya anggota tubuh seorang pelacur? Sekali-kali tidak! Atau mungkinkah kamu tidak tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur, menjadi satu dengan pelacur itu? Di dalam Alkitab tertulis dengan jelas, “Kedua-duanya menjadi satu.” Tetapi seseorang yang menyatukan diri dengan Tuhan, roh orang itu menjadi satu dengan Roh Tuhan. Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri! Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.

1 KORINTUS 6:9-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka tiadakah kamu kŭtahui, bahwasanya orang yang lalim itu tiada kŭlak mŭmpusakai krajaan Allah? Maka janganlah kamu tŭrtipu: baik orang bŭrzinah, atau orang mŭnyŭmbah bŭrhala, atau orang bŭrmukah, atau orang chara pŭrampuan, atau orang liwat; Atau pŭnchuri, atau orang loba, atau pŭmabok, atau pŭnghujat, atau pŭngannyaya, skaliannya itu tiada dapat mŭmpusakai krajaan Allah. Maka dŭmkianlah dahulu ada sŭtŭngah kamu pun, tŭtapi kamu sudah dibasohkan, dan sudah dibŭnarkan dŭngan nama Tuhan Isa, dan ulih Roh Allah kami. Adapun sagala pŭrkara itu halal bagieku, tŭtapi bukannya skaliannya itu bŭrguna: sagala pŭrkara itu halal bagieku, tŭtapi tiada aku mŭnalokkan diriku dibawah kwasa barang sŭsuata. Adapan makanan itu sŭbab prot, dan prot itupun sŭbab makanan: tŭtapi Allah akan mŭmbinasakan kaduanya itu: Tŭtapi tuboh itu bukannya sŭbab zinah, mŭlainkan kŭrna Tuhan, dan Tuhan pun kŭrna tuboh. Bahwa Allah tŭlah mŭmbangkitkan Tuhan, maka iya juga akan mŭmbangkitkan kita dŭngan kwasanya sŭndiri. Maka tiadakah kamu kŭtahui bahwa tuboh tubohmu itu anggota Almasih? maka patutkah aku mŭngambil anggota Almasih itu, kujadikan dia itu anggota pŭrampuan jalang? Dijauhkan Allah. Hie! tiadakah kamu kŭtahui, bahwa orang yang bŭrsuatu dŭngan pŭrampuan jalang itu, iya itu jadi satu tuboh? kŭrna fŭrman Tuhan, Kaduanya akan jadi suatu daging adanya. Tŭtapi orang yang ada bŭrsuatu dŭngan Tuhan iya itu mŭnjadi suatu roh. Maka jauhkanlah zinah itu. Bahwa tiap tiap dosa yang dipŭrbuat ulih manusia itu dipŭrbuatnya dŭngan tiada tubohnya; tŭtapi orang yang bŭrbuat zinah itu, iya bŭrdosa kapada tubohnya sŭndiri. Hie! tiadakah kamu kŭtahui, bahwa tuboh kamu itu ka’abah Roh Alkudos yang ada dalam kamu itu, yang tŭlah kamu pŭrulih deripada Allah, maka kamu itu bukannya milik kamu sŭndiri? Kŭrna kamu itu tŭlah ditŭbos dŭngan suatu harga: maka sŭbab itu handaklah kamu mŭmuliakan Allah dŭngan tubohmu, sŭrta rohmu, iya itu milik Allah adanya.

1 KORINTUS 6:9-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kamu tentu tahu bahawa orang durjana tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, bersetubuh dengan sesama jantina, mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak — semuanya tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenar dengan nama Tuhan Yesus Kristus dan dengan Roh Allah kita. Segala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu pun memperhambakan diriku. Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita. Allah telah membangkitkan Tuhan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya. Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh Kristus; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali! Atau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu jasad dengan pelacur itu? Dalam kitab suci jelas tersurat, “Mereka berdua menjadi satu.” Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan. Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri. Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Kudus yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah. Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.