1 KORINTUS 15:35-53

1 KORINTUS 15:35-53 BM

Mungkin orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?” Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu. Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata - mungkin benih gandum ataupun benih lain - bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak. Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri. Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza. Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi. Keindahan matahari lain daripada keindahan bulan. Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya sendiri. Sebenarnya bintang-bintang pun mempunyai keindahan yang berlainan. Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya. Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat. Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. Di dalam Alkitab tertulis, “Adam, manusia pertama itu diciptakan sebagai makhluk hidup,” tetapi Adam yang terakhir itu Roh yang memberikan hidup. Yang jasmani datang lebih dahulu, kemudian datanglah yang rohani. Adam yang pertama dijadikan daripada tanah di bumi, tetapi Adam yang kedua berasal dari syurga. Orang yang tergolong orang dunia adalah seperti Adam yang dijadikan daripada tanah. Tetapi orang yang tergolong orang syurga adalah seperti Dia yang datang dari syurga. Sebagaimana kita sekarang seperti orang yang dijadikan daripada tanah, maka kelak kita akan menjadi seperti Dia yang dari syurga itu. Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi. Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah. Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati.