1 KORINTUS 10:1-13

1 KORINTUS 10:1-13 BM

Saudara-saudaraku, ingatlah akan peristiwa yang berlaku kepada nenek moyang kita yang mengikut Musa. Mereka semua dilindungi oleh tiang awan, dan mereka menyeberangi Laut Merah dengan selamat. Untuk menjadi pengikut Musa, mereka dibaptis di dalam awan dan di dalam laut itu. Mereka semua makan makanan rohani yang sama, dan minum minuman rohani yang sama. Mereka semua minum dari batu rohani yang menyertai mereka; batu itu Kristus sendiri. Meskipun demikian, Allah tidak berkenan kepada kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mayat mereka berselerakan di padang gurun. Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu; juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, “Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.” Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu. Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa. Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut. Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman. Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh. Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.