1 KORINTUS 10:1-13

1 KORINTUS 10:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku, ingatlah akan peristiwa yang berlaku kepada nenek moyang kita yang mengikut Musa. Mereka semua dilindungi oleh tiang awan, dan mereka menyeberangi Laut Merah dengan selamat. Untuk menjadi pengikut Musa, mereka dibaptis di dalam awan dan di dalam laut itu. Mereka semua makan makanan rohani yang sama, dan minum minuman rohani yang sama. Mereka semua minum dari batu rohani yang menyertai mereka; batu itu Kristus sendiri. Meskipun demikian, Allah tidak berkenan kepada kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mayat mereka berselerakan di padang gurun. Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu; juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, “Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.” Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu. Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa. Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut. Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman. Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh. Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.

1 KORINTUS 10:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBAGIE lagi saudara saudaraku, maka bukannya kahandakku supaya kamu mŭnjadi bodoh: adapun bagimana nenek moyang kami skalian tŭlah dinawangi ulih awan, dan skaliannya mŭlalui laut: Dan skalian marika itu sudah dibaptisakan kapada Musa dalam awan itu, dan dalam laut itu juga: Dan skalian marika itu pun tŭlah mŭmakan rŭzki rohani: Dan sagala marika itu tŭlah mŭminum minuman rohani juga, kŭrna marika itu tŭlah mŭminum batu rohani itu yang tŭlah mŭngikot dia; adapun batu itulah Almasih adanya. Tŭtapi kŭbanyakkan deri pada marika itu tiada digŭmari Allah, kŭrna marika itu mati bŭrtaboran dalam padang tiah. Maka pŭrkara pŭrkara itulah mŭnjadi tauladan bagie kami, supaya jangan kami pun tŭringin akan pŭrkara pŭrkara jahat spŭrti yang tŭlah diinginkan ulih marika itu. Dan jangan kamu jadi orang mŭnyŭmbah bŭrhala, spŭrti yang dilakukau ulih bŭbrapa orang deripada marika itu; spŭrti yang tŭrsurat, Bahwa orang tŭlah dudok makan minum, lalu bangunlah iya bŭrmain main. Dan jangan pula kita bŭrzinah, spŭrti bŭbrapa deri pada marika itu tŭlah bŭrzinah, lalu rŭbahlah mati dalam satu hari dua puloh tiga ribu orang banyaknya. Dan janganlah kamu mŭnchobai Almasih, spŭrti bŭbrapa orang deripada marika itu yang tŭlah mŭnchobai, lalu dibinasakan ular. Dan janganlah kamu bŭrsungot, spŭrti bŭbrapa deri pada marika itu yang tŭlah bŭrsungot, lalu dibinasakan ulih mŭliekat almaut. Adapun sagala pŭrkara itu tŭlah bŭrlaku atas marika itu sŭbab mŭnjadi tauladan, maka iya itu tŭrsurat akan mŭnjadi pŭngajaran pada kami iya itu sampie kapada akhir zaman. Maka sŭbab itulah biarlah barang siapa yang mŭnyangka iya bŭrdiri, maka handaklah iya ingat baik baik asal jangan iya rŭbah. Maka tiadalah barang pŭrchobaan yang tŭlah kŭna kapada kamu, mŭlainkan pŭrchobaan yang biasa kŭna kapada manusia itu; tŭtapi Allah sŭtiawan adanya, tiada iya akan mŭmbiarkan kamu dichobai lebih deripada sŭkŭdar yang dapat ditahani ulih kamu; tŭtapi dŭngan pŭrchobaan itu juga Tuhan akan mŭngadakan jalan kalŭpasan, supaya dapat kamu mŭnahani dia.

1 KORINTUS 10:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Saudara-saudaraku, aku ingin mengingatkan kamu bahawa nenek moyang kita berada di bawah awan, dan semuanya menyeberangi Laut Merah. Mereka semua dibaptiskan di dalam awan dan laut itu untuk menjadi pengikut Musa. Mereka makan makanan rohani yang sama dan minum minuman rohani yang sama dari batu pejal rohani yang menyertai mereka, dan batu pejal rohani itu ialah Kristus sendiri. Namun demikian, Allah tidak meredai kebanyakan daripada mereka, maka mayat mereka bergelimpangan di gurun. Semua ini menjadi contoh kepada kita supaya kita tidak ingin akan kejahatan seperti mereka dahulu; dan supaya kita tidak menyembah berhala seperti sebilangan daripada mereka. Telah tersurat, “Umat itu duduk untuk makan minum lalu bangkit untuk bersuka ria.” Janganlah kita berkelakuan cabul seperti sesetengah mereka. Akibat perbuatan itu, dua puluh tiga ribu orang mati dalam sehari. Janganlah kita cubai Kristus seperti yang dilakukan oleh sebilangan daripada mereka. Akibatnya mereka mati dipagut ular berbisa. Janganlah kita bersungut seperti sesetengah mereka, sehingga nyawa mereka dicabut Malaikat Maut. Semua yang terjadi kepada mereka merupakan suatu iktibar, dan telah ditulis untuk menjadi amaran kepada kita yang hidup pada akhir zaman. Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh. Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.