1 TAWARIKH 28:1-10

1 TAWARIKH 28:1-10 BM

Raja Daud memerintahkan semua pemimpin Israel supaya berkumpul di Yerusalem. Oleh itu semua ketua suku, pegawai pentadbiran kerajaan, ketua puak, pengurus harta benda dan ternakan raja, serta putera-putera raja - pendek kata, semua pembesar istana, panglima dan orang penting - berkumpul di Yerusalem. Raja Daud berdiri di hadapan mereka lalu bertitah, “Dengarlah, hai rakyat beta! Telah lama beta berniat untuk membina sebuah rumah yang tetap untuk Tabut Perjanjian, alas kaki TUHAN, Allah kita. Beta telah mengadakan persiapan untuk membina sebuah rumah tempat menyembah Dia. Tetapi TUHAN tidak membenarkan beta berbuat demikian, kerana beta seorang askar dan telah menumpahkan darah. TUHAN, Allah yang disembah Israel memilih beta dan keturunan beta untuk memerintah Israel selama-lamanya. Dia memilih suku Yehuda untuk menyediakan seorang pemimpin, dan daripada suku itu Dia memilih keluarga ayahanda beta. Kemudian daripada keluarga ayahanda beta, Dia berkenan memilih beta dan menjadikan beta raja seluruh Israel. Dia memberi beta banyak putera, dan di kalangan mereka Dia memilih Salomo untuk memerintah Israel, kerajaan TUHAN. TUHAN berfirman kepada beta begini, ‘Salomo anakmu akan membina sebuah rumah bagi-Ku. Aku telah memilih dia menjadi anak-Ku, dan Aku menjadi Bapanya. Jika dia sungguh-sungguh tetap mentaati segala hukum dan perintah-Ku seperti yang dilakukannya sekarang, maka Aku akan mengukuhkan kerajaannya selama-lamanya.’ ” Kemudian Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai rakyat beta, di hadapan Allah kita dan di hadapan perhimpunan segenap Israel, umat TUHAN ini, beta minta dengan sungguh-sungguh supaya kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allah kita. Dengan demikian kamu dapat tetap memiliki negeri yang baik ini dan mewariskannya kepada keturunan kamu sampai selama-lamanya.” Lalu kepada Salomo, Raja Daud bertitah, “Hai putera beta, hendaklah Allah yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Allahmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita. Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia, tetapi jika engkau meninggalkan Dia, Dia akan menolak engkau selama-lamanya. Ingatlah baik-baik bahawa TUHAN telah memilih engkau untuk membina rumah yang khas bagi Dia. Oleh itu, sekarang laksanakanlah tugas itu dengan cekal hati.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami