1 TAWARIKH 28:1-10

1 TAWARIKH 28:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Daud memerintahkan semua pemimpin Israel supaya berkumpul di Yerusalem. Oleh itu semua ketua suku, pegawai pentadbiran kerajaan, ketua puak, pengurus harta benda dan ternakan raja, serta putera-putera raja - pendek kata, semua pembesar istana, panglima dan orang penting - berkumpul di Yerusalem. Raja Daud berdiri di hadapan mereka lalu bertitah, “Dengarlah, hai rakyat beta! Telah lama beta berniat untuk membina sebuah rumah yang tetap untuk Tabut Perjanjian, alas kaki TUHAN, Allah kita. Beta telah mengadakan persiapan untuk membina sebuah rumah tempat menyembah Dia. Tetapi TUHAN tidak membenarkan beta berbuat demikian, kerana beta seorang askar dan telah menumpahkan darah. TUHAN, Allah yang disembah Israel memilih beta dan keturunan beta untuk memerintah Israel selama-lamanya. Dia memilih suku Yehuda untuk menyediakan seorang pemimpin, dan daripada suku itu Dia memilih keluarga ayahanda beta. Kemudian daripada keluarga ayahanda beta, Dia berkenan memilih beta dan menjadikan beta raja seluruh Israel. Dia memberi beta banyak putera, dan di kalangan mereka Dia memilih Salomo untuk memerintah Israel, kerajaan TUHAN. TUHAN berfirman kepada beta begini, ‘Salomo anakmu akan membina sebuah rumah bagi-Ku. Aku telah memilih dia menjadi anak-Ku, dan Aku menjadi Bapanya. Jika dia sungguh-sungguh tetap mentaati segala hukum dan perintah-Ku seperti yang dilakukannya sekarang, maka Aku akan mengukuhkan kerajaannya selama-lamanya.’ ” Kemudian Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai rakyat beta, di hadapan Allah kita dan di hadapan perhimpunan segenap Israel, umat TUHAN ini, beta minta dengan sungguh-sungguh supaya kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allah kita. Dengan demikian kamu dapat tetap memiliki negeri yang baik ini dan mewariskannya kepada keturunan kamu sampai selama-lamanya.” Lalu kepada Salomo, Raja Daud bertitah, “Hai putera beta, hendaklah Allah yang disembah ayahandamu, engkau akui sebagai Allahmu. Engkau harus mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas dan rela hati, kerana Dia tahu akan segala fikiran dan keinginan hati kita. Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia, tetapi jika engkau meninggalkan Dia, Dia akan menolak engkau selama-lamanya. Ingatlah baik-baik bahawa TUHAN telah memilih engkau untuk membina rumah yang khas bagi Dia. Oleh itu, sekarang laksanakanlah tugas itu dengan cekal hati.”

1 TAWARIKH 28:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daud menghimpunkan semua pembesar Israel di Yerusalem, iaitu para pemimpin suku, para pemimpin rombongan yang melayani raja, para pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan seratus, serta para pegawai yang mengawasi segala harta benda dan ternakan milik raja juga para anaknya. Mereka dikumpulkan bersama-sama para pegawai istana, orang yang berpengaruh, dan semua kesateria yang gagah perkasa. Kemudian berdirilah Raja Daud dan berkata, “Dengarlah, wahai para saudaraku dan rakyatku! Aku telah berniat membina rumah perhentian bagi tabut perjanjian TUHAN dan bagi alas kaki Allah kita. Aku pun sudah mengadakan segala persediaan untuk membinanya. Akan tetapi, Allah berfirman kepadaku, ‘Engkau tidak boleh membina bait bagi nama-Ku, kerana engkau seorang pejuang dan telah banyak menumpahkan darah.’ Namun demikian, TUHAN, Allah Israel, memilih aku daripada kalangan segenap kaum keluargaku untuk menjadi raja atas Israel selama-lamanya, kerana Dia telah memilih Yehuda sebagai pemimpin. Daripada keturunan kaum Yehuda, Dia memilih kaum keluargaku, dan daripada anak-anak ayahku, Dia berkenan mengangkat aku menjadi raja atas seluruh Israel. Daripada kesemua anakku — kerana TUHAN mengurniai aku ramai anak — Dia memilih Salomo, anakku, untuk duduk di atas takhta kerajaan yang ditetapkan TUHAN, iaitu atas Israel. Firman-Nya kepadaku, ‘Anakmu Salomo, dialah yang akan membina bait dan pelataran-Ku, kerana Aku telah memilih dia untuk menjadi anak bagi-Ku dan Aku akan menjadi Bapa baginya. Aku akan mengukuhkan kerajaannya untuk selama-lamanya jika dia tetap mematuhi segala perintah dan peraturan-Ku seperti pada hari ini.’ Maka sekarang, di hadapan mata semua orang Israel, jemaah TUHAN, dan dengan didengar oleh Allah kita, kukatakan kepadamu peganglah teguh dan taatilah segala perintah TUHAN, Allahmu. Dengan demikian kamu dapat tetap memiliki negeri yang baik ini dan mewariskannya sebagai harta pusaka kepada para anakmu kelak untuk selama-lamanya. Engkaulah, anakku Salomo, kenalilah Allah ayahmu dan beribadatlah kepada-Nya dengan hati yang tulus dan jiwa yang ikhlas, kerana TUHAN mengerti setiap hati dan mengerti setiap angan-angan serta fikiran. Jika engkau mencari hadirat-Nya, maka Dia akan berkenan ditemukan olehmu. Tetapi jika engkau meninggalkan-Nya, maka Dia akan membuang engkau untuk selama-lamanya. Berwaspadalah sekarang, kerana engkau telah dipilih TUHAN untuk membina sebuah bait sebagai tempat suci. Kuatkanlah hatimu dan laksanakanlah perkara itu.”