KEJADIAN 18

18
Allah Menjanjikan Seorang Anak Lelaki kepada Abraham
1TUHAN menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok keramat, tempat beribadat di Mamre. Pada masa itu, hari sangat panas dan Abraham sedang duduk di pintu khemahnya. 2 Apabila dia menjenguk, dia nampak tiga orang berdiri di situ. Abraham segera berlari untuk menyambut mereka. Dengan bersujud, 3dia berkata, “Hai tuan-tuan, janganlah terus lalu tanpa singgah sebentar; perkenankanlah saya melayani tuan-tuan. 4Biarlah saya mengambil air untuk membasuh kaki tuan-tuan. Silakan tuan-tuan melepaskan lelah di bawah pokok ini. 5Saya akan menghidangkan makanan sekadarnya, supaya tuan-tuan mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Tuan-tuan sudah menghormati saya dengan sudi singgah di tempat kediaman saya ini.”
Mereka menjawab, “Terima kasih kerana kebaikanmu. Kami akan singgah.” 6Abraham segera masuk ke dalam khemah dan berkata kepada Sara, “Cepat, ambillah tepung yang terbaik dan buatlah roti.” 7Kemudian Abraham berlari ke tempat kawanan ternakannya dan memilih seekor anak lembu yang muda dan gemuk. Dia memberikan anak lembu itu kepada orang suruhan, yang segera menyiapkannya. 8Selepas itu Abraham mengambil sedikit krim, sedikit susu, dan daging yang sudah dimasak, lalu menghidangkan semua itu kepada tetamunya. Semasa mereka makan, Abraham sendiri melayani mereka di bawah pokok.
9Kemudian mereka bertanya kepada Abraham, “Di manakah isterimu Sara?”
“Di situ, di dalam khemah,” jawab Abraham.
10 Satu daripada mereka berkata, “Sembilan bulan lagi aku akan kembali. Pada waktu itu isterimu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”
Sara sedang memasang telinga di pintu khemah, di belakang tetamu itu. 11Abraham dan Sara sudah lanjut usia dan Sara sudah mati haid. 12 Oleh itu Sara tertawa dalam hati dan berkata, “Aku yang sudah tua dan layu begini, mana boleh masih ingin berseketiduran dengan suamiku? Lagipun suamiku sudah tua.”
13Kemudian TUHAN bertanya kepada Abraham, “Mengapakah Sara tertawa dan berkata, ‘Bolehkah aku melahirkan anak sedangkan aku sudah tua?’ 14 Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi TUHAN? Sebagaimana yang telah Aku firmankan, sembilan bulan lagi Aku akan kembali ke sini. Pada waktu itu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”
15Oleh sebab Sara takut, dia menafikannya. “Saya tidak tertawa,” katanya.
Tetapi TUHAN menjawab, “Engkau memang tertawa tadi.”
Abraham Memohon Ampun bagi Sodom
16Kemudian ketiga-tiga tetamu itu meninggalkan tempat itu, lalu pergi ke suatu tempat. Di situ mereka dapat memandang kota Sodom. Abraham mengikut mereka untuk menghantar mereka meneruskan perjalanan. 17TUHAN berfirman dalam hati, “Aku tidak mahu merahsiakan perkara yang akan Aku lakukan daripada Abraham. 18Keturunannya akan menjadi bangsa yang besar dan berkuasa, dan Aku akan memberkati semua bangsa di bumi kerana dia. 19Aku sudah memilih dia supaya memerintah anak-anak dan keturunannya untuk taat kepada-Ku dan melakukan hal yang benar dan adil. Jika mereka berbuat demikian, Aku akan memenuhi segala janji-Ku kepada Abraham.”
20Selanjutnya TUHAN berfirman kepada Abraham, “Ada tuduhan yang berat sekali terhadap penduduk Sodom dan Gomora, dan memang dosa mereka itu sangat besar. 21Oleh itu Aku hendak turun ke sana untuk menyiasat sama ada tuduhan yang sudah Aku dengar itu benar atau tidak.”
22Kemudian dua daripada tetamu itu berangkat menuju ke Sodom, tetapi TUHAN tinggal dengan Abraham. 23Abraham menghampiri TUHAN dan bertanya, “Benarkah Engkau mahu membinasakan orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah? 24Jika terdapat lima puluh orang yang tidak bersalah di dalam kota itu, adakah Engkau akan memusnahkan seluruh kota itu? Tidakkah Engkau mahu mengampuninya untuk menyelamatkan yang lima puluh orang itu? 25Tentu Engkau tidak mahu membunuh orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah. Tentu tidak! Engkau tidak mungkin berbuat demikian. Jika Engkau berbuat demikian, orang yang tidak bersalah akan dihukum bersama dengan orang yang bersalah. Itu tidak mungkin. Hakim bagi seluruh bumi tentu bertindak dengan adil.”
26TUHAN menjawab, “Jika Aku mendapati lima puluh orang yang tidak bersalah di Sodom, Aku akan mengampuni seluruh kota itu kerana mereka.”
27Abraham berkata lagi, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Aku ini hanya manusia dan tidak berhak untuk mengatakan apa-apa pun. 28Tetapi mungkin hanya terdapat empat puluh lima orang yang tidak bersalah, dan bukan lima puluh orang. Adakah Engkau memusnahkan seluruh kota itu disebabkan kurang hanya lima orang?”
TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati empat puluh lima orang yang tidak bersalah.”
29Abraham berkata lagi, “Mungkin hanya terdapat empat puluh orang.”
TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati empat puluh orang.”
30Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka jika aku bercakap lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya tiga puluh orang?”
TUHAN berfirman, “Aku tidak akan melakukannya jika Aku mendapati tiga puluh orang.”
31Abraham berkata, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Bagaimana jika hanya ada dua puluh orang?”
TUHAN berfirman, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati dua puluh orang.”
32Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka. Aku akan bercakap hanya sekali lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya sepuluh orang?”
TUHAN berfirman, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati sepuluh orang.” 33Selepas TUHAN berfirman kepada Abraham, TUHAN pergi, lalu Abraham pulang ke rumahnya.

Terpilih Sekarang Ini:

KEJADIAN 18: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk