KELUARAN 10
10
Belalang
1Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja. Aku telah menyebabkan dia dan para pegawainya berdegil, agar Aku dapat melakukan mukjizat-mukjizat ini di tengah-tengah mereka, 2dan supaya kamu dapat memberitahu anak cucu kamu bagaimana Aku membodohkan orang Mesir, ketika Aku melakukan mukjizat-mukjizat. Kamu semua akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”
3Oleh itu, Musa dan Harun pergi menghadap raja lalu berkata kepadanya, “TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Berapa lama lagi engkau tidak mahu tunduk kepada-Ku? Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 4Jika engkau masih menolak, maka esok Aku akan mendatangkan belalang ke negerimu. 5Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang yang sangat banyak. Belalang akan memakan segala tanaman dan juga pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu. 6Belalang akan memenuhi istanamu dan rumah para pegawaimu, serta rumah segenap rakyatmu. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah dialami oleh nenek moyangmu.’ ” Kemudian Musa berpaling lalu pergi.
7Para pegawai raja berkata kepada raja, “Berapa lama lagi orang itu harus menyusahkan kita? Biarkanlah orang Israel pergi supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Lihatlah, negeri kita ini sudah hancur!”
8Oleh itu Musa dan Harun dipanggil semula untuk menghadap raja. Raja bertitah kepada mereka, “Kamu boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Tetapi siapakah antara kamu yang akan pergi?”
9Musa menjawab, “Kami semua akan pergi, termasuk anak-anak serta orang tua. Anak lelaki dan perempuan, semua domba, kambing, dan lembu akan dibawa kerana kami mesti mengadakan suatu perayaan besar untuk menghormati TUHAN.”
10Raja bertitah kepada mereka, “Beta bersumpah demi TUHAN bahawa beta tidak akan membenarkan kamu membawa kaum wanita dan anak-anak! Jelaslah bahawa kamu merancang pemberontakan. 11Tidak! Hanya kaum lelaki boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, jika hal itu yang kamu mahu.” Selepas itu, Musa dan Harun diusir keluar dari istana.
12Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkan tanganmu ke atas tanah Mesir untuk mendatangkan belalang. Belalang akan datang untuk memakan segala tumbuhan yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.” 13Oleh itu Musa mengangkat tongkatnya, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin itu telah membawa belalang. 14Belalang datang dalam kawanan-kawanan yang besar sehingga meliputi seluruh negeri. Orang belum pernah melihat belalang sebegitu banyak, dan selepas itu pun hal seperti itu tidak terjadi lagi. 15 Belalang meliputi permukaan tanah sampai tanah kelihatan hitam. Belalang memakan segala sesuatu yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu, termasuk semua buah di pokok. Di seluruh Mesir, tidak ada sesuatu pun yang hijau tertinggal pada pokok ataupun tumbuhan.
16Raja segera memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Beta telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu dan terhadap kamu. 17Ampunkanlah dosa beta sekali ini saja, dan berdoalah kepada TUHAN, Allah kamu agar Dia menjauhkan hukuman yang dahsyat ini daripada beta.” 18Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN. 19Oleh itu TUHAN mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang sangat kencang. Belalang-belalang ditiup oleh angin itu dan dibawa ke Laut Gelagah, maka tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh tanah Mesir. 20Tetapi TUHAN menyebabkan raja tetap berdegil, dan raja tidak membenarkan umat Israel pergi.
Kegelapan
21TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, maka kegelapan yang pekat akan meliputi seluruh tanah Mesir.” 22 Musa mengangkat tangannya ke arah langit, lalu kegelapan yang pekat meliputi seluruh tanah Mesir selama tiga hari. 23Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari rumah sepanjang masa itu. Tetapi tempat tinggal orang Israel tetap terang.
24Kemudian raja memanggil Musa dan bertitah, “Kamu boleh pergi dan beribadat kepada TUHAN. Isteri dan anak-anak kamu juga boleh pergi bersama dengan kamu, tetapi kamu tidak boleh membawa domba, kambing, dan lembu kamu.”
25Musa menjawab, “Jika demikian, tuanku mesti menyediakan ternakan sebagai korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, Allah hamba sekalian. 26Hamba semua mesti membawa semua ternakan; seekor pun tidak boleh ditinggalkan. Hamba sekalian mesti memilih ternakan yang akan dipersembahkan kepada TUHAN, Allah hamba semua. Selepas hamba sekalian tiba di sana, barulah hamba semua tahu ternakan mana yang akan dipersembahkan.”
27TUHAN menyebabkan raja berdegil sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi. 28Raja bertitah kepada Musa, “Pergilah dari sini! Jangan menghadap beta lagi! Jika engkau menghadap beta lagi, engkau akan mati.”
29“Seperti titah perintah tuanku,” jawab Musa, “hamba tidak akan menghadap tuanku lagi.”
Terpilih Sekarang Ini:
KELUARAN 10: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.