2 MAKABE 7

7
Seorang Ibu dan Anak-anaknya Dibunuh kerana Iman Mereka
1Suatu kejadian yang lain melibatkan seorang ibu yang ditangkap bersama-sama tujuh orang anak lelakinya. Dengan perintah raja mereka diseksa dengan cambuk dan rotan untuk memaksa mereka makan daging babi. 2Lalu seorang antara mereka yang menjadi jurucakap berkata, “Apakah yang tuanku inginkan daripada kami? Kami lebih suka mati daripada melanggar hukum nenek moyang kami.”
3Apabila mendengar perkataan itu raja murka sekali. Baginda memerintahkan supaya belanga besar dan kuali-kuali dipanaskan. 4Sesudah dipanaskan, baginda memerintah supaya lidah jurucakap itu dipotong, kulit kepalanya dikupas dan tangan serta kakinya dipenggal dengan disaksikan oleh ibu dan keenam-enam orang saudaranya. 5Sesudah dikudung seluruhnya, raja memerintahkan supaya dia hidup-hidup digoreng di dalam kuali. Sementara wapnya mengepul, ibu dan saudara-saudaranya saling memberi semangat supaya mati secara perwira. Kata mereka, 6“Tuhan Allah melihat kita dan memahami penderitaan kita. Kita tahu hal itu daripada nyanyian Musa mengecam orang yang murtad. Kata Musa, ‘Tuhan mengasihani orang yang mengabdi kepada-Nya.’ ”
7Sesudah saudara yang pertama mati dengan cara itu, yang kedua dibawa untuk diseksa. Mereka menguliti kepalanya lalu bertanya, “Mahukah engkau sekarang makan daging itu? Atau kaubiarkan kami memenggal tangan dan kakimu satu demi satu?”
8Dia menjawab dalam bahasanya sendiri, “Tidak!” Oleh itu mereka menyeksa dia seperti yang pertama. 9Tetapi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia berkata kepada raja, “Penjahat! Memang tuanku dapat membunuh kami. Tetapi Raja semesta alam akan membangkitkan kami daripada kematian dan memberi kami kehidupan kekal, kerana kami mati demi hukum-hukum-Nya.”
10Sesudah itu saudara yang ketiga diseksa. Ketika dia disuruh mengeluarkan lidahnya, dia cepat-cepat melakukannya. Lalu dengan berani dia menghulurkan tangannya, 11dan tanpa gentar berkata, “Allah memberi tangan ini kepada saya. Tetapi hukum-hukum-Nya lebih berharga bagi saya daripada tangan ini. Saya tahu Allah akan mengembalikannya kepada saya.” 12Raja dan semua pengiringnya hairan melihat keberanian orang itu dan kerelaannya untuk menderita.
13Sesudah dia mati, mereka menyeksa saudara yang keempat dengan cara yang sama kejamnya. 14Tetapi kata-katanya yang terakhir kepada raja berbunyi, “Saya rela mati kerana kami mempunyai harapan bahawa Allah akan membangkitkan kami daripada kematian. Tetapi bagi tuanku tak ada kebangkitan hidup kembali!”
15Ketika saudara yang kelima dibawa untuk diseksa, 16dia menatap raja dan berkata, “Tuanku berkuasa untuk berbuat sesuka hati dengan manusia, meskipun tuanku juga orang yang fana. Tetapi jangan sangka Allah sudah meninggalkan bangsa kami. 17Tunggu sahaja, pasti tuanku akan menyaksikan kebesaran kekuasaan Tuhan. Dia akan menyeksa tuanku dan keturunan tuanku.”
18Lalu saudara yang keenam dibawa untuk diseksa, dan sebelum mati dia berkata, “Jangan salah sangka. Kami menderita kerana kesalahan kami sendiri. Kami sudah berdosa terhadap Allah kami, dan kerana itu ditimpa malapetaka ini. 19Tetapi jangan berfikir bahawa tuanku dapat melawan Allah tanpa dihukum.”
20Yang paling mengagumkan adalah ibu mereka, dan dia patut diingati dengan hormatnya. Dia menyaksikan ketujuh-tujuh anaknya mati dalam waktu satu hari. Walaupun begitu, dia menanggungnya dengan hati yang tabah kerana dia menaruh harapan kepada Tuhan. 21Dengan penuh keberanian dia memadukan rasa keibuan dengan semangat keberanian lelaki dan memberi semangat kepada anaknya masing-masing dalam bahasanya sendiri. 22Katanya, “Aku tak tahu bagaimana kamu mula hidup di dalam kandunganku. Bukan aku yang memberi kamu nafas dan hidup atau menyusun setiap bahagian tubuh kamu, 23melainkan Allah, Pencipta alam semesta, yang menjadikan umat manusia dan segala sesuatu yang ada. Dia berbelas kasihan dan akan mengembalikan hidup dan nafas kamu kepada kamu, kerana kamu mengutamakan hukum-hukum-Nya daripada diri kamu sendiri.”
24Raja Antiokhus menyangka ibu itu menghina baginda. Oleh itu baginda berusaha untuk memujuk anaknya yang bongsu supaya meninggalkan adat istiadat nenek moyangnya. Raja berjanji dengan sumpah akan menjadikan anak itu orang kaya dan bahagia. Bahkan dia akan diberi jawatan yang terhormat dan dijadikan sahabat raja. 25Tetapi anak itu tidak menghiraukan kata-kata raja. Maka Raja Antiokhus berusaha untuk memujuk ibunya supaya menasihati anaknya dan menyelamatkan hidupnya. 26Sesudah didesak lama, dia bersetuju. 27Dia membongkok kepada anaknya dan memperdayakan penguasa yang bengis itu dengan berkata dalam bahasanya sendiri, “Anakku, kasihanilah ibumu ini yang telah mengandung engkau selama sembilan bulan dan menyusui engkau selama tiga tahun. Aku juga sudah membesarkan dan memelihara engkau sehingga hari ini. 28Jadi kumohon dengan sungguh-sungguh, hai anakku, pandanglah langit dan bumi serta segala isinya. Ingatlah bahawa Allah yang menjadikan semua itu daripada ketiadaan. Begitu juga dijadikan-Nya umat manusia. 29Jangan takut kepada pembantai itu. Tunjukkanlah dirimu sebaik abang-abangmu dan terimalah maut dengan rela, supaya dengan belas kasihan Allah, aku mendapat engkau kembali bersama dengan abang-abangmu pada waktu kebangkitan.”
30Belum selesai ibu itu bercakap, anaknya berkata, “Apa yang kamu tunggu? Saya tidak mentaati perintah raja. Saya hanya taat kepada ketetapan Taurat yang diberikan Musa kepada nenek moyang kami. 31Tetapi tuanku yang sudah merancangkan segala macam malapetaka terhadap bangsa Ibrani, tak akan lepas daripada hukuman Allah. 32-33Memang Tuhan yang hidup menyeksa kami kerana dosa-dosa kami untuk menegur dan memperbaiki kami. Tetapi kemurkaan-Nya tidak akan lama, oleh sebab kami ini hamba-hamba-Nya, dan Dia akan berdamai lagi dengan kami. 34Tetapi tuanku yang paling keji dan paling jahat antara semua orang. Jadi jangan sia-sia menyombongkan diri atau menjadi angkuh dan tertipu dengan harapan yang tidak pasti, meskipun sekarang tuanku dapat menghukum hamba-hamba Allah. 35Tuanku tak akan terlepas daripada pengadilan Allah Yang Maha Kuasa dan yang melihat segala-galanya. 36Sesudah menderita untuk sementara, saudara-saudara kami sekarang hidup kekal kerana perjanjian Allah. Tetapi tuanku akan diadili-Nya dan diberi hukuman yang setimpal kerana kesombongan tuanku. 37Seperti abang-abang saya, saya pun menyerahkan jiwa raga saya demi hukum-hukum nenek moyang kami. Tetapi saya juga memohon kepada Allah supaya Dia segera menunjukkan belas kasihan-Nya kepada bangsa kami, dan supaya Dia menyeksa tuanku sehingga tuanku mengakui bahawa Dialah Allah Yang Esa. 38Kemurkaan Allah Yang Maha Kuasa telah menimpa bangsa kami dengan adil. Semoga saya dan abang-abang saya menjadi orang terakhir yang tertimpa kemurkaan-Nya.”
39Apabila mendengar kata-kata yang menghina itu, meledaklah kemurkaan raja. Anak bongsu itu diperlakukan oleh baginda dengan lebih kejam daripada yang lain-lain. 40Demikianlah dia mati dengan tidak bercela, penuh kepercayaan kepada Tuhan.
41Ibu itu yang terakhir mati sesudah anak-anaknya.
42Cukuplah kisah saya ini tentang orang Yahudi yang dipaksa makan perjamuan korban dan dianiaya dengan seksaan yang melampaui batas.

Terpilih Sekarang Ini:

2 MAKABE 7: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk