1 TESALONIKA 2

2
Pelayanan Paulus di Tesalonika
1Saudara-saudaraku, kamu sendiri tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia. 2 Kamu tahu bahawa kami dianiaya dan dihina di Filipi, sebelum kami datang kepada kamu di Tesalonika. Meskipun kami mengalami tentangan, Allah kita mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu Berita Baik yang datang daripada-Nya. 3Rayuan kami kepada kamu tidak berdasarkan kesilapan ataupun maksud yang tidak murni. Kami juga tidak cuba memperdaya sesiapa pun. 4Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami. 5Kamu tahu bahawa kami tidak datang kepada kamu dengan kata-kata yang mengangkat, ataupun dengan maksud untuk mengambil untung daripada kamu. Allah saksi kami! 6Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain. 7Sebenarnya sebagai rasul Kristus kami boleh menuntut sesuatu daripada kamu. Tetapi apabila kami bersama-sama kamu, kami bersikap lemah lembut seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya. 8Kerana kami mengasihi kamu, kami bersedia mati bagi kamu di samping memberitahu kamu Berita Baik daripada Allah. Kami sangat mengasihi kamu! 9Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat bagaimana kami bertungkus lumus! Kami bekerja siang malam supaya kami tidak menjadi beban kepada kamu semasa kami mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.
10Kamulah saksi kami, demikian juga Allah. Kelakuan kami suci, benar, dan tidak bercela terhadap kamu yang percaya kepada Kristus. 11Kamu tahu bahawa kami memperlakukan setiap orang daripada kamu seperti seorang bapa memperlakukan anak-anaknya. 12Kami menasihati kamu, kami menggalakkan kamu, dan kami menggesa kamu supaya hidup sedemikian rupa sehingga menyenangkan hati Allah. Dialah yang memanggil kamu untuk menikmati Dunia Baru Allah dan kemuliaan-Nya.
13Kami mempunyai alasan lain yang menyebabkan kami sentiasa bersyukur kepada Allah. Ketika kami menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu, kamu mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Allah. Memang perkhabaran itu daripada Allah! Allah bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus. 14 Saudara-saudaraku, kamu sudah mengalami perkara yang juga dialami oleh jemaah Allah di Yudea, yang menjadi milik Kristus Yesus. Kamu mengalami penganiayaan daripada orang sebangsa kamu sendiri, seperti jemaah di Yudea yang mengalami penganiayaan daripada orang Yahudi. 15 Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Yesus dan nabi-nabi, serta menganiaya kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan mereka menyebabkan Allah sangat murka! 16Bahkan mereka berusaha menghalangi kami mengisytiharkan perkhabaran Allah kepada orang bukan Yahudi, dan sebenarnya perkhabaran itu dapat menyelamatkan mereka. Demikianlah orang Yahudi terus-menerus menambah dosa sampai hadnya. Sekarang kemurkaan Allah menimpa mereka!
Paulus Ingin Melawat Orang Tesalonika Sekali Lagi
17Tetapi saudara-saudara seiman, sejak kami terpisah daripada kamu untuk sementara waktu - jauh di mata tetapi dekat di hati - kami sangat merindui kamu. Kami berusaha seboleh-bolehnya supaya dapat berjumpa lagi dengan kamu! 18Kami berniat melawat kamu lagi. Aku sendiri telah berusaha melawat kamu semula sekali dua, tetapi Iblis menghalangi kami. 19Sesungguhnya kamulah harapan dan kegembiraan kami. Pada waktu Tuhan kita Yesus datang kelak, dan kita menghadap-Nya, maka kamulah yang akan menyebabkan kami dapat berbangga dengan kejayaan kami. 20Sesungguhnya kamulah kebanggaan dan kegembiraan kami!

Terpilih Sekarang Ini:

1 TESALONIKA 2: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk