1 MAKABE 16

16
Kedua-dua Orang Putera Simon Mengalahkan Kendebeus
1Yohanes anak Simon meninggalkan kota Gezer untuk melaporkan kepada bapanya apa yang dilakukan Kendebeus. 2Maka Simon berkata kepada Yohanes dan Yudas kedua-dua orang anaknya yang sulung, “Seluruh keluarga ayahku, saudara-saudaraku dan aku sendiri seumur hidup berjuang untuk Israel. Berkali-kali kami berjaya membebaskan Israel. 3Sekarang aku sudah tua. Tetapi berkat rahmat Allah, kamu sekarang sudah cukup besar. Kamu harus menggantikan aku dan adikku untuk berjuang bagi bangsa kita. Semoga Allah sendiri menolong kamu.”
4Kemudian Yohanes memilih 20,000 orang askar dan pasukan berkuda dari negeri itu, dan mereka mara melawan Kendebeus. Mereka bermalam di Modein. 5Esoknya pagi-pagi lagi mereka berangkat ke dataran. Di situ mereka didatangi oleh sejumlah besar pasukan berkuda dan pasukan tentera berjalan kaki, tetapi di antara kedua-dua pasukan itu ada sebatang sungai. 6Yohanes dan pasukannya berkhemah berhadapan dengan pasukan musuh. Apabila Yohanes melihat askar-askarnya takut menyeberang sungai, dia sendiri menyeberangnya terlebih dahulu. Apabila melihat hal itu anak buahnya menyusul. 7Lalu Yohanes membahagi tenteranya. Dia menempatkan pasukan berkuda di tengah-tengah pasukan tentera berjalan kaki, kerana pasukan berkuda musuh sangat besar jumlahnya. 8Trompet tanda menyerang dibunyikan. Kendebeus dan tenteranya mengalah dan banyak antara mereka cedera. Tentera yang lain lari ke kubu mereka di Kidron. 9Yudas adik Yohanes terluka dalam pertempuran itu, tetapi Yohanes terus mengejar musuh sehingga ke kota Kidron yang sudah dibina semula oleh Kendebeus. 10Tentera musuh juga melarikan diri ke menara-menara di ladang-ladang Asdod, tetapi Yohanes membakarnya sehingga musnah. Pada hari itu lebih kurang 2,000 orang tentera musuh binasa, dan Yohanes kembali dengan selamat ke Yudea.
Simon dan Dua Orang Anaknya Dibunuh
11Imam Agung Simon telah mengangkat Ptolemeus anak Abub menjadi panglima di dataran Yerikho. Ptolemeus sangat kaya, 12kerana dia menantu Simon. 13Tetapi dia menjadi sombong dan ingin menguasai seluruh negeri. Oleh itu dia memikirkan sebuah rancangan yang licik untuk membunuh Simon dan anak-anaknya.
14Suatu ketika Simon bersama dengan kedua-dua orang anaknya, Matatias dan Yudas sedang berkunjung ke kota-kota di wilayahnya untuk memperhatikan keperluan kota-kota itu. Dalam bulan Syebat, iaitu bulan kesebelas tahun 177, mereka tiba di kota Yerikho. 15Dengan liciknya Ptolemeus menerima mereka di kubu kecil bernama Dok yang telah dibinanya sendiri. Ptolemeus mengadakan pesta besar untuk mereka, tetapi diam-diam disembunyikannya beberapa orang askar di situ. 16Ketika Simon dan kedua-dua orang anaknya mabuk, Ptolemeus dan anak buahnya bangun, mengambil senjata mereka dan menyerang Simon di ruang perjamuan. Mereka membunuh Simon, kedua-dua orang anaknya dan beberapa orang pengiring. 17Demikianlah Ptolemeus melakukan pengkhianatan besar dan membalas kebaikan dengan kejahatan.
18Sesudah itu Ptolemeus menulis laporan tentang apa yang telah dilakukannya dan mengirimkannya kepada raja. Dia minta supaya raja mengirim pasukan untuk membantunya dan supaya negeri itu berserta kota-kotanya diserahkan kepadanya. 19Dia juga menulis kepada para pemimpin pasukan supaya mereka berpihak kepadanya dengan janji akan menghadiahkan emas dan perak serta hadiah-hadiah lain kepada mereka. 20Lalu diutusnya beberapa orang ke Gezer untuk membunuh Yohanes. Dikirimnya juga beberapa orang lain untuk merebut Yerusalem dan Bukit Rumah Allah. 21Tetapi seorang lari terlebih dahulu ke Gezer dan mengkhabarkan kepada Yohanes bahawa bapa dan saudara-saudaranya sudah mati dibunuh, dan bahawa Ptolemeus mengirim orang untuk membunuhnya juga. 22Yohanes sangat terkejut mendengar khabar itu. Tetapi kerana sudah diberitahukan terlebih dahulu, dia dapat menangkap dan menumpaskan kumpulan orang yang dikirim untuk membunuhnya.
23Selebihnya daripada kisah Yohanes, peperangannya, kepahlawanannya, bagaimana dia membina tembok-tembok kota semula dan tentang jasa-jasanya yang lain, 24semua itu tercatat dalam riwayat pemerintahannya sebagai Imam Agung sesudah bapanya.

Terpilih Sekarang Ini:

1 MAKABE 16: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk