Roma 9:14-24

Roma 9:14-24 AVB

Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak! Kerana Dia telah berkata kepada Musa, “Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani. Dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.” Oleh itu, hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah. Kerana Kitab Suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati. Seorang daripadamu akan berkata kepadaku, “Kalau begitu, mengapa masih menyalahkan kita? Kerana siapa yang dapat menentang kehendak-Nya?” Tetapi siapakah engkau, hai manusia, maka engkau menghujahi Allah? “Adakah ciptaan berkata kepada penciptanya, ‘Mengapa kaubuat aku begini?’ ” Tidakkah tukang tembikar berhak membuat daripada segumpal tanah liat yang sama, beberapa bekas tembikar untuk tujuan mulia dan yang lain untuk kegunaan biasa? Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan? Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan, justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya daripada kalangan orang Yahudi tetapi juga daripada kalangan bangsa asing?

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami