Katanya kepadaku, “Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Tuhan, Allah segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi dengan segera.”
“Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini.”
Aku, Yohanes, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku. Tetapi dia berkata kepadaku, “Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata di dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah.”
Katanya lagi kepadaku, “Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba. Orang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci.”
“Ingatlah, Aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya. Akulah Alfa dan Omega, Yang Pertama dan Yang Terakhir, Yang Di Awal dan Yang Di Akhir.”
Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka berhak menghampiri pokok hayat dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya. Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya.
“Aku, Yesus, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah Tunas dan Zuriat Daud, dan bintang fajar yang bersinar.”
Roh dan pengantin perempuan itu berkata, “Marilah.” Orang yang mendengar haruslah berkata, “Marilah.” Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma.
Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat dalam kitab ini. Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pokok hayat dan kota suci seperti yang tersurat dalam kitab ini.
Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, “Ya, Aku akan datang segera.” Sesungguhnya, marilah Engkau, ya Tuhan Yesus.