Mazmur 78:21-37

Mazmur 78:21-37 AVB

TUHAN mendengar kata-kata ini lalu murka; maka api dinyalakan menyerang kaum Yakub, dan kemarahan-Nya menimpa kaum Israel, kerana mereka tidak percaya akan Allah, dan tidak yakin akan penyelamatan-Nya. Namun Dia memerintahkan awan dan membuka pintu langit; menghujani mereka dengan manna untuk makanan mereka, dan memberi mereka gandum syurga. Manusia makan makanan malaikat; Dia menghantar mereka makanan melimpah-limpah. Dia meniupkan angin timur di langit dan dengan kuasa-Nya membawakan angin selatan. Dia juga menghujani mereka dengan daging sebanyak debu, burung sebanyak pasir di tepi laut. Dia menjatuhkan semua itu di tengah-tengah perkhemahan mereka, di sekeliling tempat tinggal mereka. Lalu mereka makan sekenyang-kenyangnya, kerana Dia memberikan kehendak mereka. Keinginan mereka tidak dipuaskan, ketika makanan masih di dalam mulut mereka, Kemurkaan Allah menimpa mereka; meragut nyawa yang paling gagah antara mereka, dan menumpangkan orang Israel yang paling istimewa. Namun demikian mereka terus berbuat dosa; dan tidak percaya akan mukjizat-Nya. Oleh itu, Dia menjadikan hidup mereka sia-sia dan sepanjang usia mereka dalam ketakutan. Apabila Dia membunuh sebilangan mereka, maka mereka berpaling kepada-Nya; mereka kembali mencari Allah dengan bersungguh-sungguh. Ketika itu mereka ingat bahawa Allah Batu Pejal mereka, dan Allah Yang Maha Tinggi Penebus mereka. Tetapi mulut mereka memberi-Nya puji palsu, dan lidah mereka berdusta kepada-Nya; kerana hati mereka tidak teguh kepada-Nya, dan mereka tidak setia kepada perjanjian dengan-Nya.