Ya TUHAN, Engkau telah menelitiku dan mengenalku. Engkau mengenal dudukku dan berdiriku; Engkau memahami fikiranku dari jauh. Engkau meneliti jalanku dan baringku; serta mengerti semua caraku. Sebelum ada sepatah kata di lidahku, ya TUHAN, Engkau telah mengetahui seluruhnya. Engkau telah merangkulku — di belakang dan di hadapan; dan meletakkan tangan-Mu ke atasku. Pengetahuan demikian terlalu menakjubkan bagiku, tingginya tidak tercapai olehku. Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu? Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu? Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana; jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana. Jika kuambil sayap pagi, dan tinggal di bahagian laut yang paling dalam, di sana pun tangan-Mu akan memimpinku, tangan kanan-Mu akan memegangku. Jika aku berkata, “Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam,” sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu; dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu. Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku; Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku. Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan; sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku. Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu ketika aku dicipta dalam rahsia dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah. Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku. Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah! Betapa besar jumlahnya! Jika kuhitung, jumlahnya lebih banyak daripada pasir. Apabila aku terjaga, aku masih bersama-Mu.
Baca Mazmur 139
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Mazmur 139:1-18
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video