MAZMUR 139:1-18

MAZMUR 139:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku. Engkau mengetahui segala perbuatanku; dari jauh Engkau memahami fikiranku. Engkau melihat aku, sama ada aku sedang bekerja ataupun berehat; Engkau mengetahui segala perbuatanku. Bahkan sebelum aku bercakap, Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan. Engkau mengelilingi aku di segala penjuru; Engkau melindungi aku dengan kuasa-Mu. Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam; terlalu dalam bagi pengertianku. Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu? Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu? Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga. Jika aku terbang ke ufuk timur, atau tinggal di hujung barat yang paling jauh, di sana juga Engkau akan memimpin aku, dan di sana pun Engkau akan menolong aku. Jika aku minta kegelapan melingkupi aku, ataupun cahaya di sekelilingku menjadi malam, namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap, dan malam itu cerah seperti siang. Bagi-Mu gelap dan terang sama sahaja. Engkau menciptakan segala bahagian badanku; Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku. Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya. Ketika tulang-tulangku dijadikan, dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku, ketika aku tumbuh di sana secara rahsia, Engkau tahu bahawa aku di sana. Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku. Jangka masa hidupku sudah ditetapkan dan dicatat di dalam kitab-Mu, bahkan sebelum satu hari pun bermula. Ya Allah, betapa sukarnya fikiran-Mu bagiku, dan betapa banyak jumlahnya. Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir. Ketika aku bangun, aku masih bersama-sama-Mu.

MAZMUR 139:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ya TUHAN, Engkau telah menelitiku dan mengenalku. Engkau mengenal dudukku dan berdiriku; Engkau memahami fikiranku dari jauh. Engkau meneliti jalanku dan baringku; serta mengerti semua caraku. Sebelum ada sepatah kata di lidahku, ya TUHAN, Engkau telah mengetahui seluruhnya. Engkau telah merangkulku — di belakang dan di hadapan; dan meletakkan tangan-Mu ke atasku. Pengetahuan demikian terlalu menakjubkan bagiku, tingginya tidak tercapai olehku. Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu? Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu? Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana; jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana. Jika kuambil sayap pagi, dan tinggal di bahagian laut yang paling dalam, di sana pun tangan-Mu akan memimpinku, tangan kanan-Mu akan memegangku. Jika aku berkata, “Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam,” sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu; dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu. Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku; Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku. Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan; sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku. Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu ketika aku dicipta dalam rahsia dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah. Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku. Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah! Betapa besar jumlahnya! Jika kuhitung, jumlahnya lebih banyak daripada pasir. Apabila aku terjaga, aku masih bersama-Mu.