Amsal 24

24
1Jangan iri hati terhadap orang yang jahat,
dan jangan ingin bergaul dengan mereka,
2kerana hati mereka memikirkan keganasan,
dan bibir mereka membicarakan kejahatan.
3Dengan hikmah rumah dibina,
dan dengan pengertian dikukuhkan.
4Dengan pengetahuan bilik-bilik dipenuhi
dengan segala harta yang berharga dan indah.
5Orang bijaksana memiliki kuasa,
dan orang yang berpengetahuan memantapkan kekuatan.
6Kerana dengan bimbingan engkau dapat berperang,
dan jika banyak penasihat, ada kemenangan.
7Hikmah terlalu tinggi bagi orang bodoh,
tidak berani dia membuka mulutnya di sidang pengadilan.
8Sesiapa merancang kejahatan
akan disebut dalang.
9Rancangan yang bodoh adalah dosa,
dan pencemuh adalah kekejian bagi manusia.
10Jika semangatmu lemah pada masa kesesakan,
kecillah kekuatanmu.
11Lepaskanlah mereka yang ditawan untuk dibunuh,
dan tahanlah mereka yang terhuyung-huyung menuju pembantaian.
12Jika engkau berkata, “Sungguh, kami tidak tahu hal itu!”
Bukankah Dia, yang menguji hati, memahaminya?
Bukankah Dia, yang memelihara nyawamu, mengetahuinya?
Bukankah Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya?
13Hai anakku, makanlah madu, kerana itu baik,
dan titisan madu manis dari sarang lebah manis untuk dikecapi.
14Ketahuilah bahawa demikianlah hikmah bagi jiwamu:
jika engkau mendapatkannya, maka ada masa depan,
dan harapanmu tidak akan lenyap.
15Jangan membidik kediaman orang benar seperti orang durjana,
jangan rosakkan tempat tinggalnya.
16Walaupun orang benar jatuh tujuh kali, dia akan bangkit lagi,
tetapi orang durjana dimusnahkan oleh malapetaka.
17Jangan bersuka ria ketika musuhmu jatuh,
dan janganlah hatimu gembira ketika dia tersandung,
18supaya jangan TUHAN melihat hal itu dan berasa tidak senang,
sehingga Dia memalingkan murka-Nya daripada orang itu.
19Jangan sebal hati kerana orang yang berbuat jahat,
dan jangan iri hati terhadap orang yang durjana,
20kerana tidak ada masa depan bagi orang yang jahat,
dan pelita orang yang durjana akan padam.
21Hai anakku, takutlah kepada TUHAN dan raja,
dan jangan bergabung dengan para pemberontak,
22kerana kedua-duanya dapat menimbulkan bencana dengan tiba-tiba,
dan siapa yang tahu kemalangan apa yang datang daripada kedua-duanya?
23Ini juga pepatah-pepatah orang bijaksana:
Tidaklah baik bersikap berat sebelah dalam pengadilan.
24Sesiapa yang berkata kepada orang durjana, “Engkau benar,”
dia akan dikutuk oleh umat dan disumpah oleh suku-suku bangsa.
25Tetapi sesiapa menegur orang durjana itu akan disukai,
dan berkat melimpah akan datang ke atasnya.
26Sesiapa memberikan jawapan yang tepat,
seperti memberikan ciuman di bibir.
27Aturlah pekerjaanmu di luar,
siapkanlah ladangmu,
kemudian baru bina rumahmu.
28Janganlah menjadi saksi terhadap jiranmu tanpa alasan,
atau memperdaya dengan bibirmu.
29Jangan berkata, “Sebagaimana dia berbuat atasku, akan kubalas setimpal atasnya juga.
Aku membalas orang selaras dengan perbuatannya.”
30Aku lalu di ladang seorang pemalas,
serta berdekatan kebun anggur seorang yang kurang akal.
31Lihatlah, duri tumbuh di seluruh tempat itu,
permukaan tanahnya diliputi jelatang,
dan pagar batunya telah roboh.
32Aku memandangnya dan merenungkan hal itu;
aku melihatnya lalu mengambil iktibar.
33 # Ams 6:10,11. “Tidur sebentar, mengantuk sebentar,
lipat tangan sebentar untuk berbaring.”
34Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri,
dan kesempitan seperti orang bersenjata.

Terpilih Sekarang Ini:

Amsal 24: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk