Amsal 13:1-25

Amsal 13:1-25 AVB

Anak yang arif memperhatikan didikan ayahnya, tetapi pencemuh tidak mahu mendengar teguran. Daripada buah perkataannya seseorang menikmati kebaikan, tetapi orang yang khianat menginginkan kekerasan. Orang yang menjaga mulutnya memelihara nyawanya, tetapi orang yang banyak mulut akan mengalami kehancuran. Hati si pemalas penuh keinginan tetapi tidak mendapat apa-apa, tetapi hati orang rajin mendapat kepuasan berlimpah ruah. Orang benar membenci perkara dusta, tetapi orang durjana mungkar dan tercela tindakannya. Perbenaran mengawal orang yang hidup tidak bercela, tetapi kejahatan menghancurkan orang yang berdosa. Ada orang yang berpura-pura kaya tetapi tidak punya apa-apa, ada pula yang berpura-pura miskin tetapi banyak hartanya. Kekayaan adalah tebusan nyawa seseorang, tetapi orang miskin tidak akan mendengar ancaman. Cahaya orang benar terang-benderang, tetapi pelita orang durjana akan padam. Keangkuhan hanya mendatangkan pertengkaran, tetapi hikmah ada pada orang yang menerima nasihat. Harta hasil penipuan akan susut dengan cepat, tetapi orang yang mengumpulkan sedikit demi sedikit akan melipatgandakannya. Harapan yang tertunda menyedihkan hati, tetapi keinginan yang termakbul ialah pokok hayat. Sesiapa yang menghina firman akan membinasakan dirinya sendiri, tetapi orang yang mentaati perintah akan mendapat pahala. Ajaran orang bijaksana ialah mata air kehidupan yang membolehkan orang menghindari jerat-jerat maut. Pengertian yang baik mendatangkan kurnia, tetapi jalan pengkhianat sarat dengan penderitaan. Setiap orang yang bijaksana bertindak dengan pengetahuannya, tetapi orang yang bodoh memperagakan kebodohannya. Pesuruh yang durjana jatuh ke dalam kesusahan, tetapi duta yang setia membawa penyembuhan. Kemiskinan dan aib akan menimpa dia yang melalaikan didikan, tetapi penghormatan menanti orang yang mengendahkan teguran. Keinginan yang termakbul begitu menyenangkan hati, tetapi bagi orang bodoh menjauhkan diri daripada kejahatan sesuatu kekejian. Orang yang bergaul dengan orang arif akan menjadi arif, tetapi orang yang berkawan dengan orang bodoh akan menderita. Malapetaka mengejar orang berdosa, tetapi kemakmuran adalah ganjaran orang benar. Orang baik meninggalkan warisan bagi anak cucunya, tetapi kekayaan orang berdosa tersimpan bagi orang benar. Ladang orang miskin menghasilkan banyak makanan, tetapi ladang itu lenyap kerana ketidakadilan. Orang yang enggan menggunakan rotan membenci anaknya, tetapi orang yang mengasihi anaknya sanggup mengajarnya. Orang benar ada kecukupan untuk memenuhi seleranya, tetapi perut orang yang durjana selalu merasa kekurangan.