Bilangan 19
19
Peraturan bagi penyucian
1TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, 2“Inilah ketetapan hukum yang diperintahkan TUHAN: Suruhlah orang Israel membawa kepadamu seekor lembu betina warna merah yang tidak bercacat cela, dan yang belum pernah dipasangkan kuk. 3Serahkanlah lembu itu kepada Imam Eleazar. Selanjutnya hendaklah lembu itu dibawa ke luar perkhemahan dan hendaklah disembelih di hadapannya. 4Kemudian, hendaklah Imam Eleazar mengambil sebahagian daripada darah lembu itu dengan jarinya dan memercikkannya tujuh kali ke sebelah depan Khemah Pertemuan. 5Lalu hendaklah lembu itu dibakar di hadapan matanya. Hendaklah kulit, daging, darah, malah kotoran lembu itu dibakar. 6Setelah itu, hendaklah imam mengambil kayu araz, ranting hisop, dan kain merah tua, lalu melemparkannya ke dalam api yang sedang membakar lembu itu. 7Kemudian hendaklah imam mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air, baru sesudah itu dia boleh masuk ke perkhemahan. Namun demikian, imam itu menjadi najis sampai waktu maghrib. 8Orang yang membakar lembu itu juga harus mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air, dan dia juga menjadi najis sampai waktu maghrib. 9#Ibr 9:13.Selanjutnya hendaklah seorang yang suci mengumpulkan abu lembu itu dan meletakkannya di suatu tempat yang suci di luar perkhemahan. Abu itu harus disimpan agar kalangan umat Israel dapat memakainya untuk membuat air pembersih kecemaran demi menghapuskan dosa. 10Maka, hendaklah orang yang mengumpulkan abu lembu itu mencuci pakaiannya, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. Ketetapan itu berkuat kuasa untuk selama-lamanya, baik bagi orang Israel mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan mereka.
11Sesiapa yang menyentuh mayat akan menjadi najis selama tujuh hari. 12Hendaklah dia menyucikan dirinya dengan air itu pada hari ketiga, dan pada hari ketujuh dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga, maka pada hari ketujuh dia tidak menjadi suci. 13Sesiapa yang menyentuh mayat, iaitu tubuh manusia yang telah mati, tetapi tidak menyucikan dirinya, maka dia menajiskan Khemah Suci TUHAN dan hendaklah disingkirkan daripada Israel. Dia najis kerana air pembersih kecemaran tidak dipercikkan padanya, dan kenajisannya tetap melekat padanya.
14Inilah hukumnya jika seseorang mati di dalam khemah: sesiapa pun yang masuk ke dalam khemah itu dan sesiapa sahaja yang telah berada di dalam khemah itu menjadi najis selama tujuh hari. 15Malahan semua wadah yang terbuka, tanpa penutup yang melekat di atasnya juga menjadi najis. 16Sesiapa pun di padang terbuka yang menyentuh orang yang terbunuh dengan pedang, menyentuh mayat biasa, menyentuh tulang belulang manusia, atau menyentuh makam, dia menjadi najis selama tujuh hari.
17Hendaklah orang yang najis itu mengambil sebahagian daripada abu korban penghapus dosa yang dibakar, letakkannya di dalam sebuah wadah, lalu tuangkan padanya air segar daripada mata air. 18Selanjutnya, hendaklah seorang yang suci mengambil ranting hisop dan mencelupnya ke dalam air itu. Kemudian air itu harus dipercikkan pada khemah tadi, pada semua wadah, pada orang yang ada di dalam khemah, atau pada orang yang telah menyentuh tulang belulang, menyentuh mayat orang yang dibunuh, menyentuh mayat biasa, atau menyentuh makam tadi. 19Hendaklah orang yang suci itu memercikkan orang yang najis itu, baik pada hari ketiga mahupun pada hari ketujuh, dan pada hari ketujuh hendaklah dia menyucikannya. Kemudian hendaklah orang itu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, hingga pada waktu maghrib dia menjadi suci.
20Akan tetapi, hendaklah orang yang menjadi najis dan tidak menyucikan dirinya disingkirkan daripada kalangan umat, kerana dia telah menajiskan tempat suci TUHAN. Dia tetap najis kerana air pembersih kecemaran tidak dipercikkan padanya. 21Itulah ketetapan yang berkuat kuasa selama-lamanya bagi mereka. Orang yang memercikkan air pembersih kecemaran itu pun harus mencuci pakaiannya, dan orang yang menyentuh air pembersih kecemaran itu menjadi najis sampai waktu maghrib. 22Barang apa-apa pun yang disentuh oleh orang yang najis akan menjadi najis, dan sesiapa menyentuh barang itu akan menjadi najis juga sampai waktu maghrib.”
Terpilih Sekarang Ini:
Bilangan 19: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited