Bilangan 15
15
Peraturan tentang korban
1TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu sampai di negeri yang akan Kukurniakan kepadamu sebagai tempat kediamanmu, 3dan kamu hendak mempersembahkan korban kepada TUHAN daripada kawanan lembu atau kawanan domba yakni sebagai korban bakaran ataupun korban sembelihan yang keharumannya diredai TUHAN, sama ada untuk membayar nazar khusus, untuk korban sukarela, atau korban pada hari-hari perayaan tertentu, 4maka hendaklah orang yang membawa persembahannya itu mempersembahkan kepada TUHAN persembahan bahan makanan berupa sepersepuluh efa#15:4 Satu efa kira-kira 22 liter. tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hin#15:4 Satu hin: Sukatan kira-kira 3.7 liter. minyak zaitun. 5Persembahkanlah juga seperempat hin air anggur sebagai persembahan minuman bersama-sama korban bakaran atau korban sembelihan itu, untuk setiap seekor anak domba korban. 6Jika korbanmu berupa seekor domba jantan, persembahkanlah persembahan bahan makanan daripada dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan sepertiga hin minyak zaitun, 7dan persembahan minuman berupa sepertiga hin air anggur, sehingga keharumannya diredai TUHAN. 8Apabila kamu menyediakan seekor lembu jantan muda, baik sebagai korban bakaran mahupun korban sembelihan untuk membayar sesuatu nazar khusus, atau sebagai korban kedamaian yang dipersembahkan kepada TUHAN, 9maka bersama dengan lembu jantan muda itu bawalah persembahan bahan makanan daripada tiga persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan setengah hin minyak zaitun, 10dan persembahan minuman berupa setengah hin air anggur untuk menjadi korban bakaran, sehingga keharumannya diredai TUHAN.
11Hendaklah dilakukan sedemikian untuk setiap ekor lembu atau domba jantan, setiap ekor anak domba atau kambing. 12Berapa banyak pun jumlah ternakan yang kamu sediakan, hendaklah kamu lakukan sedemikian juga untuk setiap ekornya. 13Hendaklah setiap orang warga asli melakukan hal ini dengan cara demikian pada waktu dia mempersembahkan korban bakaran, yang keharumannya diredai TUHAN. 14Jika seorang pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu atau sesiapa sahaja yang menetap turun-temurun dalam kalangan kamu hendak mempersembahkan korban bakaran, iaitu korban yang keharumannya diredai TUHAN, maka hendaklah dia melakukannya sebagaimana yang kamu lakukan. 15Satu ketetapan berkuat kuasa atas seluruh jemaah itu, baik bagi kamu mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu, dan ketetapan itu berkuat kuasa untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Kamu dan juga pendatang-pendatang itu sama di hadapan TUHAN. 16#Im 24:22.Satu hukum dan satu peraturan berkuat kuasa, baik bagi kamu mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu.’ ”
17TUHAN berfirman kepada Musa, 18“Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu sampai di negeri tempat Aku membawa kamu, 19dan kamu mulai menikmati hasil negeri itu, maka hendaklah kamu mempersembahkan persembahan khusus kepada TUHAN. 20Persembahkanlah kuih daripada tepung barli hasil pertama sebagai persembahan khusus. Sama halnya seperti persembahan khusus dari tempat pembantingan, demikian pulalah kamu harus mempersembahkannya. 21Daripada tepung barli hasil pertama itu kamu harus mempersembahkan persembahan khusus kepada TUHAN, secara berterusan turun-temurun.’ ”
Peraturan bagi dosa yang tidak disengajakan
22“Jika kamu dengan tidak sengaja lalai mematuhi segala perintah yang difirmankan TUHAN kepada Musa, 23iaitu segala yang diperintahkan TUHAN kepadamu dengan perantaraan Musa sejak TUHAN memerintahkannya sampai kaum keluargamu seterusnya turun-temurun, 24dan jika hal itu dilakukan tanpa sengaja dan tanpa pengetahuan kalangan umat, maka hendaklah seluruh umat mempersembahkan seekor lembu jantan muda sebagai korban bakaran, korban yang keharumannya diredai TUHAN dan juga persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya menurut peraturan yang berkuat kuasa, juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa. 25Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi seluruh kalangan umat Israel dan mereka akan diampuni, kerana hal itu tidak disengajakan. Di samping itu, mereka juga telah membawa persembahan mereka, iaitu korban bakaran untuk dipersembahkan kepada TUHAN dan korban penghapus dosa di hadapan TUHAN, akibat ketidaksengajaan mereka itu. 26Seluruh kalangan umat Israel akan diampuni, begitu juga pendatang yang tinggal dalam kalangan mereka, kerana mereka melakukannya tanpa sengaja.
27 # Im 4:27-31. Jika seorang sahaja yang berbuat dosa tanpa sengaja, maka hendaklah dia mempersembahkan seekor kambing betina berumur setahun sebagai korban penghapus dosa. 28Hendaklah imam mengadakan pendamaian di hadapan TUHAN bagi orang yang berbuat dosa tanpa sengaja itu, supaya dengan pendamaian yang diadakan baginya dapatlah dia diampuni. 29Satu hukum berkuat kuasa bagi orang yang berbuat dosa tanpa sengaja, baik warga asli orang Israel mahupun pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu.
30Akan tetapi, jika seseorang, baik warga asli mahupun pendatang, berbuat dosa dengan sengaja itu bererti dia mencerca TUHAN dan hendaklah dia disingkirkan daripada kalangan bangsanya. 31Kerana orang itu telah menghina firman TUHAN dan mengingkari perintah-Nya, maka hendaklah dia disingkirkan daripada kalangan bangsanya. Kesalahannya tertanggung kepada dirinya.”
Pelanggar peraturan Sabat dihukum mati
32Sewaktu orang Israel berada di gurun, mereka mendapati seorang yang sedang mengumpulkan kayu api pada hari Sabat. 33Maka orang yang mendapatinya sedang mengumpulkan kayu bakar itu membawa dia kepada Musa, Harun, dan seluruh umat. 34Orang itu dimasukkan ke dalam tahanan, kerana belum dinyatakan apa yang harus dilakukan terhadapnya. 35Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hendaklah orang itu dihukum mati. Seluruh umat harus merejamnya dengan batu di luar perkhemahan.” 36Maka seluruh umat membawa dia ke luar perkhemahan dan merejamnya dengan batu hingga mati, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
Peraturan rumbai
37TUHAN berfirman kepada Musa, 38#Ul 22:12.“Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Buatlah rumbai-rumbai pada bucu-bucu pakaianmu dan amalkan itu turun-temurun, dan letaklah sehelai benang biru pada rumbai-rumbai pada bucu pakaian itu. 39Rumbai-rumbai itu akan menjadi rambu-rambu peringatan bagimu, kerana setiap kali kamu melihatnya, kamu akan mengingat segala perintah TUHAN dan melakukannya, sehingga kamu tidak lagi mengikuti keinginan hatimu atau keinginan matamu sendiri, seperti yang biasa kamu lakukan dalam kekufuran kamu. 40Dengan demikian kamu dapat mengingat dan melakukan segala perintah-Ku, sehingga kamu menjadi suci bagi Allahmu. 41Akulah TUHAN, Allahmu, yang telah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Allahmu. Akulah TUHAN, Allahmu.’ ”
Terpilih Sekarang Ini:
Bilangan 15: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited