Yesus berkata pula, “Pernahkah orang memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita. Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan. Jika kamu bertelinga, dengarlah.” Selepas itu Yesus berkata, “Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi. Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.” Yesus berkata seterusnya, “Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya. Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi. Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah — mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah. Setelah masak, buahnya disabit oleh orang itu dengan segera kerana musim menuai telah tiba.” “Dengan apakah dapat kita bandingkan kerajaan Allah?” kata Yesus lagi. “Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya? Kerajaan Allah itu seperti sebutir biji sesawi paling kecil di dunia yang ditabur di tanah. Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung di udara membuat sarang di bawah keteduhannya.” Dengan banyak ibarat yang semacam itu Yesus mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham. Dia tidak berucap kepada mereka tanpa menggunakan ibarat. Tetapi apabila Dia bersendiri dengan murid-murid-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya. Pada petang itu juga, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pergi ke seberang sana.” Ketika itu Yesus di dalam perahu. Para murid-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama. Lalu angin ribut bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air. Ketika itu Yesus sedang tidur di buritan perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para murid-Nya membangunkan Dia lalu berkata, “Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!” Yesus bangun lalu menegur angin dan berkata kepada ombak, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan laut menjadi tenang. Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?” Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, “Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya!”
Baca Markus 4
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Markus 4:21-41
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video