Dari jam yang keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. Kira-kira jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Elia.” Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Yesus sebagai minuman. Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Elia datang menyelamatkan-Nya.” Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir. Sejurus itu tirai Bait Suci terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah; kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang suci dibangkitkan semula; mereka keluar dari kubur dan selepas Yesus dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ. Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!” Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus. Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus. Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
Baca Matius 27
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Matius 27:45-61
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video