Matius 24:1-28

Matius 24:1-28 AVB

Apabila Yesus melangkah keluar dari Bait Suci, murid-murid-Nya datang mendapatkan-Nya lalu menunjukkan bangunan-bangunan Bait Suci itu. Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.” Ketika Yesus duduk di atas Bukit Zaitun, murid-murid-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, “Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?” Yesus menjawab mereka, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun! Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah Kristus!’ Mereka akan membuat ramai orang terperdaya. Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi janganlah kamu gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman. Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata. Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin. Setelah itu, kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana nama-Ku. Pada masa itu ramai tidak akan lagi beriman kepada-Ku dan mereka akan saling mengkhianati dan membenci. Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai. Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia. Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan. Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu, barulah tiba akhir zaman.” “Oleh itu, apabila kamu melihat ‘kekejian yang membawa kebinasaan’ yang disebut oleh nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya), ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di atas bumbung ketika itu janganlah masuk ke rumah mengambil apa-apa. Orang yang di ladang usahlah pulang mengambil jubah. Malanglah ibu yang mengandung dan menyusui anak. Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat. Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi. Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan-Nya, masa itu disingkatkan. Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat, Kristus ada di sini!’ atau ‘Dia ada di sana!’ janganlah percaya. Kerana beberapa kristus palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat pilihan. Dengarlah! Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi. Jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat! Dia ada di gurun!’ janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, ‘Dia ada di dalam bilik!’ usahlah kamu percaya. Sesungguhnya, Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat. Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar.”