Matius 23:1-22

Matius 23:1-22 AVB

Yesus berkata kepada orang ramai dan murid-murid-Nya: “Ahli Taurat dan orang Farisi menduduki kerusi Musa. Oleh itu, patuhilah dan turutilah perintah yang diajarkan oleh mereka. Tetapi jangan contohi perbuatan mereka, kerana tidak selaras dengan ajaran mereka. Mereka meletakkan beban yang berat dan sukar dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka langsung tidak mahu menolong orang memikul beban itu. Mereka melakukan sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Kitab Suci yang diikatkan pada dahi dan lengan mereka, serta betapa panjangnya rumbai jubah mereka. Mereka suka duduk di tempat terhormat di majlis jamuan dan kerusi khas di saumaah. Mereka suka diberi salam hormat di pasar dan suka dipanggil ‘rabbi.’ Janganlah suruh orang memanggilmu ‘rabbi,’ kerana kamu semua bersaudara dan Gurumu hanya satu. Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini ‘bapa,’ kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. Janganlah suruh orang memanggilmu ‘pemimpin,’ kerana Pemimpinmu hanya satu, iaitu Kristus. Orang yang terbesar antaramu haruslah menjadi pelayanmu. Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, dan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.” “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menutupi kerajaan syurga di muka orang. Kamu bukan sahaja enggan memasuki kerajaan syurga; kamu halang pula orang lain yang berusaha untuk masuk. Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menipu balu dan merampas rumahnya, kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang lebih berat. Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu merentas lautan dan daratan untuk menarik seseorang menganut agamamu. Namun demikian, setelah berjaya, kamu menjadikannya isi neraka yang dua kali lebih buruk daripadamu. Malanglah kamu, pemimpin yang buta! Kamu mengajar orang demikian, ‘Jika seorang bersumpah demi Bait Suci, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Bait Suci, dia terikat pada sumpahnya.’ Hai orang bodoh dan buta! Yang mana lebih penting, emas atau Bait Suci yang menjadikan emas itu suci? Kamu juga mengajar orang begini, ‘Jika seseorang bersumpah demi mazbah, dia tidak terikat pada sumpahnya; tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah, dia terikat pada sumpahnya.’ Hai orang yang buta hati! Yang manakah lebih penting, persembahan atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? Ketahuilah apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah dan demi segala persembahan di atasnya. Apabila seseorang bersumpah demi Bait Suci, dia bersumpah demi Bait Suci itu dan demi Dia yang tinggal di situ. Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Dia yang duduk di atas takhta itu.