Matius 19:1-15

Matius 19:1-15 AVB

Selepas Yesus selesai berkata tentang hal-hal itu, Dia beredar dari Galilea pergi ke Yudea di seberang Sungai Yordan. Ramai orang mengikut-Nya dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ. Beberapa orang Farisi datang untuk menduga Yesus. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan? Setelah itu, Allah berfirman, ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.’ Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.” Kata orang Farisi itu, “Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?” Yesus menjawab mereka, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu begitu tegar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu. Sesungguhnya, jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana zina, lalu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina.” Para murid Yesus berkata, “Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung.” Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya. Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada kerajaan syurga. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya.” Beberapa orang membawa kanak-kanak supaya diberkati oleh Yesus dengan meletakkan tangan-Nya ke atas mereka serta mendoakan mereka. Tetapi para murid Yesus memarahi orang yang membawa kanak-kanak itu. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang seperti itulah yang empunya kerajaan syurga.” Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Kemudian Dia beredar dari situ.