Matius 13:24-47

Matius 13:24-47 AVB

Yesus menceritakan satu ibarat lagi: “Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga. Hamba peladang berkata, ‘Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?’ Jawab peladang itu, ‘Ini perbuatan musuh.’ Hamba itu bertanya, ‘Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawab peladang itu, ‘takut tercabut gandum juga sewaktu kamu mencabut lalang itu. Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu, barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.’ ” Seterusnya Yesus mengisahkan ibarat demikian: “Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditabur di ladangnya. Biji sesawi itu paling kecil antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara membuat sarang pada cabangnya.” Kemudian Yesus menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi: “Aku akan membuka mulut melalui ibarat; Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.” Selepas itu, Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Murid-murid-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, “Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.” Yesus berkata, “Orang yang menabur benih baik itu Anak Manusia. Ladang itu dunia. Benih yang baik itu anak-anak kerajaan dan lalang itu anak-anak si durjana. Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat. Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir. Anak Manusia akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua dalam kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dalam kerajaan-Nya dan yang menyebabkan orang berdosa. Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!” “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.” “Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya. Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.” “Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan.