Lukas 7:39-50

Lukas 7:39-50 AVB

Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Yesus berkata-kata dalam hatinya, “Jika orang ini seorang nabi, tentulah Dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.” Yesus menjawabnya, “Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon berkata, “Ya Guru, katakanlah.” “Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus keping wang dinar dan seorang lagi lima puluh. Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?” Simon menjawab, “Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.” Yesus berkata kepadanya, “Betullah anggapanmu.” Lalu Yesus berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, “Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air untuk membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya. Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku. Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Dosa-dosamu telah diampunkan.” Mereka yang makan bersama Yesus berkata sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan damai sejahtera.”