Lukas 5:27-39

Lukas 5:27-39 AVB

Kemudian Yesus keluar dan terpandang seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut-Nya. Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Yesus di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut makan bersama mereka. Orang Farisi dan ahli Taurat mereka bersungut-sungut kepada para murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan orang berdosa?” Yesus menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.” Mereka berkata kepada Yesus, “Murid-murid Yohanes kerap kali berpuasa dan berdoa. Demikian juga murid orang Farisi. Tetapi murid-murid-Mu ini terus makan dan minum sahaja.” Yesus menjawab, “Dapatkah kamu membuat tetamu dalam jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.” Yesus memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka: “Tiada sesiapa pun yang mengoyak perca kain baru untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika dia berbuat demikian, maka dia akan mengoyakkan pakaian baru itu, dan perca kain baru itu tidak akan sepadan dengan yang lama. Tiada siapa menuangkan air anggur baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru itu akan memecahkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat itu pun rosak. Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru. Dan tiada siapa pun yang telah minum air anggur yang lama gemar minum air anggur yang baru kerana katanya, ‘Yang lama itu lebih baik.’ ”