Lukas 19:28-41

Lukas 19:28-41 AVB

Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Yerusalem. Apabila Dia berhampiran Betfage dan Betania, yang terletak di bukit bernama Bukit Zaitun, Dia mengutus dua orang murid-Nya, kata-Nya, “Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke sini. Jika ada orang bertanya kepadamu, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai?’ kamu hendaklah berkata kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ ” Mereka pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Ketika mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?” Murid-murid itu menjawab, “Tuhan memerlukannya.” Lalu mereka membawanya kepada Yesus. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan mendudukkan Yesus di atasnya. Ketika Yesus menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan. Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua murid-Nya mula bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka: “Diberkatilah Raja yang datang dengan nama Tuhan!” “Damai sejahtera di syurga dan kemuliaan di tempat yang maha tinggi!” Antara orang ramai itu ada beberapa orang Farisi yang berkata kepada Yesus, “Guru, tegurlah murid-murid-Mu.” Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu bahawa jika mereka diam, batu-batu pula akan bersorak.” Ketika Yesus menghampiri Yerusalem dan melihat kota itu, Dia pun menangisinya